Patutlah tak kalut minta cerai, Alif Teega rupanya serah semua aset kepada Aisyah Hijanah

Oleh WAN SITI AMINAH

Sejak suaminya mengaku menikah satu lagi, personaliti media sosial iaitu Aisyah Hijanah tidak pernah mengeluarkan kenyataan memburukkan suaminya.

Aisyah Hijanah juga lebih mengambil pendekatan untuk berdiam diri saat beredarnya dakwaan bahawa suami, Alif Teega telah melakukan penderaan fizikal terhadapnya.

Tindakan ini telah menyebabkan ramai menyangka Aisyah ‘kalah’ sehinggalah wanita berkenaan mendedahkan satu perkara yang begitu mengejutkan di laman Instagram.

Menerusi satu hantaran tular, Aisyah mengaku bahawa segala harta sepencariannya dengan suami sepanjang berumah tangga telah dipindah milik penuh kepada dirinya.

Harta sepencarian yang dimaksudkan oleh isteri pertama Alif Teega ini termasuklah pegangan hak milik dalam perniagaan tudung, rumah, kereta dan juga aset-aset lain.

Walaupun reda menerima poligami, wanita yang berusia 28 tahun itu memaklumkan tindakan tersebut bertujuan untuk melindungi masa depan dirinya dan anak-anak.

“Segala hasil titik peluh yang dibina bersama suami (aset harta sepencarian), telah dipindahkan 100% kepada milik Aisyah termasuklah semua share @hijanahofficial, rumah, kereta dan juga aset-aset yang lain. 

“Jangan hancurkan semuanya hanya disebabkan amarah kita. Pastikan semua hak dan usaha anda selama ini terjamin. Catat semua aset bersama dan buat satu perjanjian khas. Jikalau mampu upah peguam, silakan. 

“Pada awal mungkin kita akan blur. Tetapi apabila kita cuba bertenang dan berdamai dengan takdir, kita akan dapat jalan. Jangan berputus asa dengan terlalu cepat,” katanya menerusi satu hantaran pada Isnin (semalam).

Aisyah juga menasihati wanita lain yang berdepan masalah sama agar tidak terburu-buru meminta cerai dan bertenang sebelum berdepan dengan konflik rumah tangga.

Jelas pemilik nama penuh Aisyah Hijanah Azhari itu, dia bukanlah seorang isteri mata duitan sebaliknya hanya mahu memastikan kehidupannya dan anak-anak terjamin.

Ahli perniagaan itu turut berterima kasih kepada Alif kerana bersetuju dan bersedia untuk memberikan kerjasama baik dalam penyerahan harta sepencarian tersebut.

“Bagi wanita yg dipoligamikan, Aisyah harap hantaran kali ini dapat membantu anda semua. Poligami bukan perkara Haram, tetapi bukan semua wanita boleh menerima.

“Jangan terburu-buru untuk bercerai. Jaga kesucian hati kita. Sabar dan cuba untuk bertenang dahulu. Peka dengan apa yang berlaku dan berhati-hati dalam bertindak.

“Bukan bermakna kita tamak atau gila harta, tetapi nak selamat dan jaminan untuk diri serta anak-anak. Sentiasa minta Allah beri petunjuk dan cari jalan yang terbaik.” Ulas Aisyah.

Baca juga: Banyak kontroversi, Boy Iman tak terkejut rakan artis jauhkan diri