Malaysia Dateline

Pau 2017 buktikan Umno tidak punya integriti, penakut dan tidak patriotik

Tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, Persidangan Agung Umno (Pau) ke-71 di PWTC minggu lalu telah membuktikan bahawa Perdana Menteri, menteri-menteri, pemimpin Umno, delegasi dan pemerhati tidak mempunyai keberanian, integriti dan semangat patriotisme untuk berdepan dengan tuduhan bahawa Malaysia adalah kleptokrasi global.

Katanya, sejarah akan merekodkan semua ini sebagai penakut dan pembelotan nasional di Malaysia, bahawa sebaik sahaja Malaysia dicela dalam sebuah forum antarabangsa dengan tuduhan “kleptokrasi terburuk” yang kemudian membuatkan Malaysia terkenal sebagai “kleptokrasi global”, pemimpin Umno bersama 5,000 orang perwakilannya dalam Pau 2017 telah membuktikan mereka bersalah kerana bersikap pengecut dan menipu secara kolektif, gagal membersihkan Malaysia daripada tuduhan tersebut.

“Apakah pengasas dan generasi awal Umno pernah membayangkan bahawa suatu hari Umno tidak berani bangun mempertahankan maruah, nama baik dan integriti Malaysia, sebaliknya mereka secara kolektif memejamkan mata, menutup telinga dan mulut apabila Malaysia dituduh sebagai kleptokrasi global?” soal Kit Siang dalam blognya.

Menurut Kit Siang, beliau percaya, tiga Perdana Menteri pertama, Tengku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein tidak akan sanggup bersikap sedemikian apabila Malaysia dicela seperti itu.

“Mengapakah Pau 2017 masih meneruskan jenayah pembelotan dan pengecut nasional ini sejak tiga tahun lalu dengan mengetepikan sama sekali skandal 1MDB dan dakwaan yang memburukkan nama Malaysia sebagai kleptokrasi global?” soal beliau lagi.

Katanya lagi, sekarang terpulanglah kepada pengundi Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti untuk menebus semula maruah, integriti dan nama baik Malaysia.