Malaysia Dateline

Menjelang PAU: Najib minta bincang rancangan mahu musnah, gantikan Umno

Menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini dan esok, bekas presidennya Datuk Seri Najib Razak meminta perwakilan membincang dan membuat rancangan untuk menyelamatkan Umno.

Ini kerana, kata beliau, ada parti-parti tertentu membuat perancangan licik untuk memusnahkan Umno dan menggantikannya dengan parti mereka.

“Kita kena bincangkan, apakah langkah yang boleh menggagalkan rancangan licik parti-parti tertentu yang mahu memusnahkan dan menggantikan Umno,” kata Najib dalam ucapan khas melalui Facebooknya malam tadi.

Bagi beliau ia perlu disuarakan dan dibincangkan dalam perhimpunan Umno kali ini.

Kenyataan Najib ini dipercayai ditujukan kepada Bersatu yang banyak membeli dan mencuri pemimpin dan ahli Umno agar bersama mereka.

Ia telah menimbulkan kemarahan di kalangan pemimpin Umno khasnya di peringkat akar umbi cawangan dan bahagian sehingga mereka membuat usul agar Umno tidak bersama Bersatu dalam PRU-15 nanti.

Menurut Najib lagi dalam pesanannya kepada perwakilan PAU kali ini, perwakilan perlu bertanya, apakah yang mereka mahu untuk Umno.

“Apakah jalan terbaik untuk parti kita. Apakah langkah terbaik yang boleh kukuhkan parti kita,” kata bekas perdana menteri itu dalam pesanannya.

Beliau juga berkata, perwakilan Umno perlu berbangga dengan Umno sekarang kerana semua pihak mahu bersama Umno sekarang.

“Saban hari nama Umno dipetik oleh mereka untuk bekerjasama,” kata Najib lagi.