Malaysia Dateline

‘Payung Negara’ tempat rakyat mengadu

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menjadi tempat rakyat meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub berpendapat rakyat sudah tiada pilihan lain untuk mengadu melainkan kepada Seri Paduka Baginda.

“Apabila rakyat luahkan protes terhadap PM yang hilang majoriti di Facebook rasmi Istana Negara, maknanya itulah tempat terakhir rakyat mengadu pada ‘Payung Negara’.

“Kami tidak tergamak nak mengadu pada Ratu Elizabeth (Ratu Britain) atau Joe Biden (Presiden baharu Amerika Syarikat),” kata Ahli Parlimen Pulai tersebut menerusi Twitter hari ini.

Ruangan komen di laman Facebook Istana Negara mengenai mesyuarat Pra-Kabinet baru-baru ini dibanjiri luahan untuk rakyat merintih dan mengadu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Rata-rata mengeluh dan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran kerajaan Muhyiddin yang gagal menangani tekanan ekonomi rakyat ekoran pandemik Covid-19.

Antara hal dibangkitkan orang ramai kepada Seri Paduka Baginda ialah isu pengeluaran kategori kedua i-Sinar di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).