Malaysia Dateline

PBB: 2,500 Rohingya larikan diri susulan pertempuran terkini di Rakhine

Kira-kira 2,500 lagi Orang Rohingya melarikan diri dari Negeri Rakhine yang terletak di Myanmar tengah susulan pertempuran terkini yang meletus antara dua kumpulan tentera, lapor agensi berita rasmi Turki Anadolu memetik kenyataan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu.

Jurucakap setiausaha agung PBB, Farhan Haq, berkata Rohingya terbabit “terpaksa melarikan diri susulan pertempuran antara Tentera Arakan dan tentera Myanmar” yang bermula bulan lepas.

Farhan berkata PBB telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat dan menilai keperluan komuniti yang terjejas.

Rohingya, yang disifatkan PBB sebagai golongan paling teraniaya, telah berdepan ketakutan diserang selepas berpuluh-puluh orang daripada etnik itu dibunuh dalam keganasan komunal pada 2012.

PBB telah mendokumenkan insiden massa rogol berkumpulan, pembunuhan termasuk bayi dan kanak-kanak, kejadian membelasah secara kejam serta kehilangan orang yang dilakukan oleh tentera Myanmar.

Dalam satu laporan, para penyiasat PBB berkata pencabulan sedemikian mungkin terjumlah kepada jenayah terhadap kemanusiaan.

Sejak 25 Ogos 2017, hampir 24,000 umat Islam Rohingya telah dibunuh oleh tentera Myanmar, menurut Agensi Pembangunan Antarabangsa Ontario (OIDA).

Menurut Amnesty International, lebih 750,000 pelarian Rohingya, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, telah melarikan diri dari Myanmar serta menyeberang ke Bangladesh selepas tentera Myanmar melancarkan tindakan keras terhadap komuniti minoriti umat Islam.

Bulan lepas, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat telah meluluskan satu resolusi yang menyifatkan keganasan berterusan terhadap Rohingya adalah “genosid.”

— BERNAMA