Malaysia Dateline

PBB anggap piagam PN, BN, GPS tiada keperluan

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) menganggap tiada keperluan untuk menandatangi sebarang perjajian piagam persefahaman politik bersama Barisan Nasional (BN)dan Perikatan Nasional (PN) dalam membentuk sebuah gabungan besar bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Naib Presidennya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiada keperluan untuk menjadi anggota rasmi bagi sebarang pakatan yang dicadangkan seperti disuarakan Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainudin baru-baru ini.

“Saya rasakan piagam ataupun perjanjian seumpama itu antara kawan-kawan (parti) adalah tidak perlu.

“ini kerana, kita sudah rapat antara satu sama lain dan telah tubuhkan kerajaan bersama. Oleh itu, PN, BN dan GPS sudah ada persefahaman yang baik dan mengapa perlu kita hendak menandatangani perjanjian,” soal beliau.

Justeru, tegas Abdul Karim, sekiranya perjanjian itu ditandatangi ia adalah seolah-olah akan mencerminkan rasa tidak percaya antara satu sama lain antara BN, PN dan GPS itu sendiri.

“Saya rasa biarlah hubungan erat itu terjalin dengan baik.

“Apatah lagi kita (GPS) tidak berminat untuk meletakkan calon di Semenanjung, jadi tidak perlu bimbang tentang itu.

“Namun, apa yang perlu dikhuatiri ialah parti dari Semenanjung yang berminat hendak meletakkan calon bertanding di negeri ini.

“GPS hanya mahu jaga Sarawak dengan acuannya sendiri dan kamu jagalah wilayah Semenanjung tetapi kita tetap bekerjasama rapat bagi memastikan kestabilan kerajaan.

“Dan jelas cadangan untuk menandatangani piagam seperti ini tidak perlu bagi saya kerana kita hanya mahu mempercayai antara satu sama lain,” katanya lagi.

Sebelum ini, Hamzah mencadangkan satu piagam persefahaman politik dibentuk gabungan besar merangkumi PN, BN dan GPS bagi menghadapi PRU15.

Katanya, pemeteraian piagam antara gabungan itu akan memastikan kelangsungan kerjasama antara ketiga-tiga pihak dan dapat meningkatkan keyakinan rakyat di negara ini.