Malaysia Dateline

PBB kritik Malaysia, bukan Myanmar sahaja, kata Guan Eng

DAP menyifatkan kritikan keras Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres terhadap negara-negara yang menggunakan sekatan untuk memerangi wabak Covid-19 juga ditujukan kepada Malaysia, bukan Myanmar sahaja, apabila  membenarkan tindakan darurat untuk menentang perbezaan pendapat dan menghukum kebebasan asasi.

Oleh itu, katanya, krtikan PBB itu tepat dan kena pada masanya.

Selain Myanmar, Malaysia juga menghadapi keadaan yang serupa dengan pengisytiharan darurat yang menggantung Parlimen diikuti dengan penyiasatan dan pendakwaan terhadap ahli politik pembangkang, wartawan profesional dan media bebas seperti Malaysiakini.

Bagi DAP, walaupun tidak ada negara yang disebut, Guterres menggambarkan keadaan yang serupa di Malaysia apabila berkata;

“Dengan menggunakan pandemik ini sebagai alasan, pihak berkuasa di beberapa negara telah menggunakan tindakan keras keselamatan dan tindakan darurat untuk menentang perbezaan pendapat, menghukum kebebasan asasi, menyekat laporan bebas media dan membendung kegiatan organisasi bukan kerajaan.”

Selain penurunan tahap kebebasan asasi, tahap korupsi telah merosot dengan Malaysia jatuh enam anak tangga ke tangga 57 dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2020 Transparency International.

Bagi bekas Menteri Kewangan itu, penurunan kebebasan asasi dan menggantung Parlimen pada umumnya disertai oleh peningkatan amalan rasuah.

“Oleh itu, kita boleh menjangkakan kedudukan CPI Transparency International Malaysia akan semakin merosot tahun ini,” katanya.

Oleh itu, bagi beliau, terdapat keperluan untuk mengembalikan Parlimen agar suara rakyat biasa dapat didengari.

“Saya telah diberitahu oleh peguam dan AP Jelutong RSN Rayer bahawa saya dipanggil untuk siasatan polis kerana membuat panggilan sedemikian.

“Namun, saya menolak untuk didiamkan dan akan terus mendesak pengembalian demokrasi berparlimen dengan segera untuk memastikan kerajaan yang dipilih oleh rakyat dapat dikembalikan,” kata MP Bagan itu.