Malaysia Dateline

PBB, Bersatu bincang pembahagian kerusi hadapi PRN12 Sarawak

Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan bahawa ada perbincangan pembahagian kerusi dengan Bersatu baru-baru ini.

Katanya, ia adalah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak yang bakal diadakan dalam masa terdekat ini.

“Itu (perbincangan) kita tunggu keputusan apa yang akan ditetapkan nanti, sebab ini bukan sesuatu yang dibincangkan secara terbuka,” jelasnya dalam sidang media semalam.

Mengenai senarai nama calon daripada PBB, beliau menegaskan ia sudah pun diserahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Bagi PBB, senarai nama sudah diserahkan kepada Ketua Menteri, namun parti komponen GPS lain saya belum tahu lagi.

“Namun, sama ada senarai nama tersebut sudah dimuktamadkan atau tidak, sila bertanya dengan beliau (Abang Johari), ” ujar Alexander.

Malah, tambahnya lagi GPS sentiasa bersedia menghadapi PRN12 2 sejak tahun lepas lagi.

“Memang kita sudah bersedia sejak tahun lepas lagi kerana pada 2019 kita sudah menjangkakan akan ada PRN12 pada 2020, namun disebabkan Covid-19, maka pilihan raya tidak dapat diadakan.

“Saya sebagai Setiausaha Agung GPS juga telah diarahkan oleh Ketua Menteri sejak 2019 agar mengaktifkan bilik gerakan. Kita sudah aktifkan dan sudah pelbagai program dilakukan dan bahan-bahan untuk digunakan semasa kempen juga semua sudah disediakan,” katanya.