PBB, Bulan Sabit Merah Iran berganding bahu bantu mangsa banjir

PBB, Bulan Sabit Merah Iran berganding bahu bantu mangsa banjir

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Iran (IRC) berganding bahu untuk menyalurkan bantuan kepada 10 juta orang yang terjejas akibat hujan lebat serta banjir kilat di Iran, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap PBB pada Khamis.

Laporan menyebut ramai penduduk maut dalam bencana banjir yang bermula pada lewat Mac.

“PBB kini berkolaborasi dengan pihak berkuasa berkaitan yang menerajui respons,” kata Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

“IRC telah menyalurkan bantuan kepada lebih 330,000 orang yang memerlukan,” katanya sambil menambah bahawa PBB pula “telah menyediakan bantuan bernilai US$1.4 juta dalam bentuk perlindungan, barangan bukan makanan, kesihatan, air dan sanitasi.”

“Usaha sedang dijalankan bagi menggerakkan bantuan kemanusiaan tambahan untuk mereka yang terjejas,” kata Dujarric.

“Pasukan PBB sedang melakukan lawatan ke lapangan di kawasan terjejas untuk menilai keperluan mendesak dan memerlukan respons kemanusiaan bagi membantu mereka yang terjejas,” katanya.

“Menurut laporan awal, lebih 54,000 rumah musnah manakala 90,000 lagi rosak,” katanya.

“Iran kini ditenggelami air,” kata Sayed Hashem, pengarah serantau Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah di laman sesawang persekutuan itu.

“Ini adalah satu krisis yang tidak pernah berlaku dan ia melanda sekurang-kurangnya 23 daripada 31 wilayah di Iran.”

“Meskipun kesan sebenar belum dapat dilihat, adalah amat jelas bahawa bencana banjir telah menyebabkan kerosakan teruk dan membawa penderitaan di kawasan kampung, bandar dan pedalaman,” katanya.- BERNAMA