PBB diminta pastikan pelarian Rohingya yang dibawa pulang diberi hak sewajarnya

PBB diminta pastikan pelarian Rohingya yang dibawa pulang diberi hak sewajarnya

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dapat memainkan peranan lebih utuh agar minoriti Islam di Myanmar mendapat hak kerakyatan mereka sepenunhnya.

Seterusnya mereka itu dapat menikmati keperluan asas secukupnya di negara sendiri dan tiada lagi isu diskriminasi dan prejudis antara kaum dan agama.

Demikian kata Pengurus Besar Serantau Muslim, Ustaz Mohd Hakim Mohd Nor dalam kenyataan medianya kelmarin.

Kata beliau, Serantau Muslim melihat pada tahun 1978 merupakan tahun paling kejam yang dirasai oleh etnik yang paling teraniaya di dunia rentetan tragedi ‘pembersihan etnik’.

Namun kini, katanya, diharap ada sinar kehidupan yang baru buat etnik Rohingya di Myanmar ekoran laporan media baru-baru ini.

“Persoalannya, adakah kerajaan Myanmar akan melayan etnik Rohingya ini secara bermaruah setelah kembalinya mereka ke Myanmar?

“Baru-baru ini laporan media menyatakan lima keluarga pulang ke kem penempatan semula Taungpyoletwei di Rakhine. Laporan turut dibuktikan dengan gambar seorang lelaki, dua wanita dan kanak-kanak perempuan serta kanak-kanak lelaki sedang menerima kad pengenalan selain mendapatkan saringan kesihatan.

“Dalam masa sama, pihak berkuasa melakukan proses menentukan sama ada mereka pernah tinggal di situ selain memberikan Kad Pengesahan Kebangsaan (dokumen yang tidak mengiktiraf kerakyatan etnik Rohingya sepenuhnya). Namun ia ditolak oleh pemimpin Rohingya kerana inginkan hak penuh untuk golongan itu.

“Serantau Muslim masih berasa gusar dengan keadaan yang bakal berlaku terhadap etnik Rohingya. Sebelum ini Menteri Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula, Win Myat Aye membuat lawatan ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh, dengan mengharapkan kunjungan itu dapat mempercepatkan kepulangan ratusan ribu minoriti dari negara jiran itu,” kata beliau.

Namun jelas Mohd Hakim, Serantau Muslim peka dengan amaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi lain telah menghalang penghantaran pulang pelarian Rohingya ke Myanmar kerana sangsi dengan Myanmar yang masih belum menyelesaikan isu diskriminasi serta penindasan golongan minoriti itu.

“Sementara Bangladesh berharap isu penghantaran pulang etnik Rohingya ini perlu disegerakan agar bebanan yang dipikul negara itu dapat kurangkan.

“Serantau Muslim melahirkan rasa simpati dengan minoriti Islam itu kerana seolah-olah tiada jalan yang jelas buat mereka pilih. Serantau Muslim juga bimbang dengan keadaan etnik tersebut kerana dengan tiada dokumen yang memperakui kerakyataan sepenuhnya terhadap mereka. Semestinya, hak sama rata dan perlindungan keselamatan tidak terjamin.

“Serantau Muslim juga berharap kenyataan Pentadbir Muagdaw, Ye Htut sebelum ini yang menyatakan tiada permusuhan antara masyarakat yang tinggal, banyak rumah yang masih tinggal dan minoriti Islam Rohingya tidak takut berada di situ adalah benar dan ikhlas,” kata beliau.

Serantau Muslim jelasnya, masih mengalukan-alukan semua orang dapat membantu etnik Rohingya melalui www.untukmurohingya.com dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka walau di mana mereka berada.