Malaysia Dateline

PBB harap fasa pertama pengunduran tentera di Hudaidah, Yaman dilakukan segera

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres menjangkakan pelaksanaan fasa pertama pengunduran tentera di Hudaidah “akan dilakukan segera” oleh puak yang bertelagah di Yaman, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap badan dunia itu pada Isnin.

“Terdapat keperluan untuk sentiasa mempunyai peraturan sebenar bagi pelaksanaan di lapangan, dan kami harap dengan persetujuan yang telah dicapai mengenai fasa pertama, ia akan dijalankan segera, dan kami menjangkakan bahawa ia akan berlaku di lapangan,” kata Farhan Haq, timbalan jurucakap bagi pemimpin PBB itu, kepada pemberita pada satu taklimat rutin.

Satu persetujuan telah dicapai di Stockholm pada Disember 2018 yang menyebut kerajaan Yaman dan pemberontak Houthi perlu mengundurkan tentera masing-masing dari bandar Hudaidah serta pelabuhan Hudaidah, Salif dan Ras Issa.

Dalam perkembangan lain, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat berhubung fasa pertama penempatan semula tentera selepas mengadakan rundingan pada Sabtu dan Ahad.

Dalam fasa pertama, perjanjian itu menetapkan bahawa “mereka (puak bertelagah) perlu keluar dari pelabuhan-pelabuhan utama iaitu Hudaidah, Saleef dan Ras Isa, serta dari infrastruktur kritikal seperti gudang simpanan makanan Red Sea Mills,” kata Haq.

Hudaidah adalah pelabuhan Laut Merah utama di Yaman, yang mengendali kira-kira 70 peratus import makanan dan bahan api ke negara itu.

Red Sea Mills ketika ini menyimpan bijiran yang mencukupi untuk memberi makan sejumlah 3.7 juta orang selama sebulan dan kini berdepan risiko rosak dan membusuk, menurut Program Makanan Dunia PBB.

Satu gencatan senjata yang agak goyah, sebagai sebahagian daripada perjanjian Stockholm, telah berlaku di rantau itu sejak Disember namun gudang makanan itu masih belum dapat diakses oleh petugas kemanusiaan.

Langkah menyahtentera di rantau itu adalah bertujuan membenarkan bantuan kemanusiaan tiba kepada rakyat Yaman yang kini di ambang kebuluran akibat perang saudara yang telah memasuki tahun keempat.

Pihak bertelagah di Yaman turut bersetuju secara dasar berkaitan fasa kedua penempatan semula tentera.

Pertemuan seterusnya berhubung pengunduran tentera dijangka berlangsung dalam tempoh seminggu bagi memuktamadkan satu perjanjian mengenai fasa kedua.-Bernama.