Malaysia Dateline

PBB harap perbincangan damai Yaman diteruskan bagi tahun 2019

Menurut sumber Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) beberapa pusingan berbincangan damai berkenaan konflik Yaman dijangka akan diadakan bagi bulan-bulan seterusnya, ketika pihak berselisihan kini sedang berbincang di Sweden, lapor AFP.

Inisiatif Sweden ini merupakan perjumpaan pertama bagi kedua-dua belah pihak selepas perbincangan sebelum ini pada tahun 2016 gagal. Untuk rekod, sehingga kini, perang saudara di Yaman telah mengakibatkan 10,000 kehilangan nyawa sejak 2015 apabila Arab Saudi dan sekutunya bersama kerajaan Yaman menyerang pihak Houthi yang disokong oleh Iran.

Konflik berkenaan telah diklasifikasikan oleh PBB sebagai “krisis kemanusiaan terburuk dunia” dimana hampir 14 juta rakyat Yaman berisiko tinggi untuk menghadapi kebuluran akibat daripada keganasan, kemiskinan, penyakit dan sekatan yang dikenakan terhadap negara tersebut.

Menurut PBB, perbincangan tersebut tidak memberi fokus untuk mencari jalan penyelesaian bagi konflik Yaman, tetapi akan memberi penekanan terhadap beberapa isu penting, seperti isu kemanusiaan, penukaran banduan, pembukaan lapangan terbang antarabangsa Sanaa dan nasib bandar Laut Merah, yang dikawal oleh pihak Houthi.

Bercakap dengan kapasiti ketanpanamaan, sumber daripada PBB berkata kedua-dua belah pihak bersetuju untuk mengadakan beberapa siri perbincangan bagi bulan-bulan seterusnya, ketika bertemu di perkampungan Rimbo.

Kempen antarabangsa telah diperhebatkan untuk mengurangkan situasi tegang di Yaman, selepas Arab Saudi dan Iran telah menerima tekanan hebat daripada negara-negara Barat.

Jelas sumber PBB tersebut, “Jika kita tidak mendapat sokongan daripada beberapa negara penting, tiada solusi dapat dicapai,”.

Duta-duta yang mempunyai pejabat kedutaan di Yaman, termasuk Arab Saudi, Britain dan Perancis, juga berada di perkampungan Rimbo walaupun mereka tidak menghadiri mana-mana perbincangan, tambah sumber PBB itu.

Penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS), bersama-sama Britain dan Perancis, yang merupakan pembekal senjata utama kepada Arab Saudi, telah mempertingkatkan sikap kritikal mereka terhadap sokongan yang diberikan AS terhadap kempen ketenteraan di Yaman yang diketuai oleh Arab Saudi, terutamanya selepas pembunuhan Khashoggi.

Khashoggi, seorang wartawan rakyat Arab Saudi, merupakan kolumnis The Washington Post yang kritis terhadap Tengku Mahkota Mohammed bin Salman, telah dibunuh ketika berada di pejabat Konsulat Arab Saudi.

Pihak Senat AS dijangka akan membuat undian minggu hadapan untuk memberhentikan sokongan ketenteraan AS kepada kempen ketenteraan di Yaman yang diketuai oleh Arab Saudi. Walaubagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump sebelum ini telah menolak kemungkinan untuk memberhentikan penjualan senjata AS kepada Arab Saudi.

Walaupun pihak kerajaan Yaman dan Houthi menolak untuk meletakkan senjata, wakil kedua-dua belah pihak berkata pihak mereka mengambil sikap terbuka untuk perundingan lanjut.

“Jika kita memastikan konsultansi ini mempunyai perkembangan – perkembangan yang membina keyakinan terhadap dua pihak dan berusaha mencari rangka pendamaian – kita boleh mengadakan beberapa siri perbincangan di masa hadapan,” jelas jurucakap Houthi Mohammed Abdelsalam kepada wartawan.

Sebelum ini Menteri Luar Yaman, Khaled al-Yamani mencadangkan untuk bandar Aden, yang dikawal oleh kerajaan Yaman, dijadikan sebagai lapangan terbang utama negara berkenaan, dan lapangan terbang antarabangsa Sanaa, yang dikawal oleh Houthi dijadikan sebagai terminal domestik, walaubagaimanapun telah ditolak oleh Houthi.

Tambah sumber PBB tersebut, bandar Yaman, iaitu Hodeida yang mempunyai pangkalan utama, merupakan isu “perselisihan utama” diantara kedua belah pihak,

Sebelum ini, pihak Houthi telah merampas kawalan bandar Hodeida pada tahun 2014, dimana hampir 90 peratus makanan import tiba di pangkalan itu, telah menyebabkan campur tangan Arab Saudi dan sekutunya pada tahun berikutnya.

Kiriman antarabangsa akan tiba di Hodeida, termasuk bantuan kemanusiaan, telah disekat dan pihak Arab Saudi dan sekutunya menuduh Iran menyusup masuk senjata kepada Houthi melalui pangkalan tersebut dan lapangan terbang Sanaa. Tehran, walaubagaimanapun, menolak dakwaan berkenaan.

Kedua-dua belah pihak bersetuju untuk membenarkan wakil PBB untuk menjalankan tugas penyeliaan di pangkalan berkenaan – tetapi pihak kerajaan Yaman menggesa pihak Houthi untuk berundur daripada mengawal pangkalan berkenaan, cadangan yang tidak dipersetujui oleh pihak Houthi.

Arab Saudi dan sekutunya telah melancarkan serangan ofensif demi mengambil semula bandar Hodeida pada Jun lepas dan telah menyebabkan krisis kemanusiaan baharu dimana negara tersebut sedang mengalami masalah kebuluran yang teruk.