Malaysia Dateline

PBB isytihar keputusan AS ke atas Baitulmaqdis tidak sah

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengisytihar keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak sah dan terbatal.

Dalam satu pengundian, 128 negara menolak keputusan AS itu dengan sembilan lagi negara menyokong.

Sejumlah 35 negara mengambil pendirian berkecuali manakala wakil 21 negara lagi tidak hadir.

Pengundian yang berlangsung pada Khamis disifatkan sebagai satu kemenangan untuk rakyat Palestin, biarpun ia mencatat sokongan lebih rendah, berbanding 150 yang dijangka sebelum ini.

Terdahulu, sebelum pengundian membabitkan 193 negara itu, AS menerusi dutanya ke PBB, Nikki Haley mengulangi ancaman Presiden Donald Trump untuk memotong bantuan kewangan mana-mana negara yang menyokong resolusi berkenaan.

Haley juga menegaskan keputusan undian di PBB tidak akan memberi kesan terhadap rancangan Washington untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.