Malaysia Dateline

PBB kecam Taliban sekat wanita ke universiti

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa menggesa Taliban menarik balik dasar menyekat wanita untuk mengikuti pengajian di universiti, lapor Agensi Anadolu.

Majlis yang dianggotai 15 orang itu turut mengecam tindakan menggantung sesi persekolahan untuk gadis Afghanistan serta menuntut penyertaan penuh, sama rata dan bermakna bagi golongan wanita.

Terdapat laporan bahawa Taliban melarang pekerja wanita yang berkhidmat dengan organisasi antarabangsa daripada pergi bekerja, justeru Majlis menjelaskan tindakan berkenaan akan memberi kesan yang ketara ke atas operasi kemanusiaan di negara itu.

Ketua bantuan PBB Martin Griffiths dalam taklimatnya kepada anggota Majlis Keselamatan PBB minggu lalu memberi gambaran suram tentang situasi kemanusiaan di Afghanistan.

Beliau berkata 97 peratus rakyat Afghanistan hidup dalam kemiskinan dan 20 juta orang berdepan isu kelaparan yang teruk.

Taliban gagal memenuhi janji mereka kepada masyarakat antarabangsa.

Wanita dan kanak-kanak perempuan telah dilucutkan hak mereka, termasuk hak untuk mendapat pendidikan sejak Taliban kembali berkuasa pada 15 Ogos 2021.

Kanak-kanak perempuan telah dihalang daripada menghadiri sekolah menengah dan sekolah tinggi.

Ramai wanita menuntut hak mereka dikembalikan dengan turun ke jalan raya, membantah dan menganjurkan kempen.

— BERNAMA

BACA JUGA Fahmi sahkan penjualan Menara KL, sedia bantu siasatan