PBB kutuk serangan udara Haftar ke atas orang awam di Libya

PBB kutuk serangan udara Haftar ke atas orang awam di Libya

– Pejabat Penyelarasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) pada Isnin mengutuk serangan udara oleh pasukan tentera yang berpangkalan di Libya Timur sejak beberapa hari lepas yang didakwa meragut nyawa berpuluh-puluh orang awam, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik satu kenyataan.

“Penyelaras Kemanusiaan di Libya Encik Yacoub El Hillo mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara sejak beberapa hari lepas di pelbagai tempat di Libya, yang menyebabkan kematian orang awam dan majoritinya terdiri daripada kanak-kanak serta wanita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata orang awam, kebanyakannya kanak-kanak, masih terpaksa membayar “harga yang tinggi” dalam konflik yang bukan dimulakan atau diingini oleh mereka.

“Saya terkejut dengan semua serangan dahsyat ini, yang merupakan satu lagi pencabulan jelas terhadap undang-undang hak asasi dan kemanusiaan antarabangsa.”

Sambil menggesa semua pihak yang terbabit dalam konflik itu agar mematuhi obligasi di bawah undang-undang antarabangsa dan undang-undang hak asasi manusia, beliau berkata “serangan tidak berperikemanusiaan sedemikian terhadap orang awam, petugas kesihatan serta infrastruktur awam termasuk hospital dan sekolah perlu dihentikan serta-merta.”

Kerajaan Libya yang diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa pada Isnin berkata tentera yang berpangkalan di Libya Timur telah membunuh sekurang-kurangnya 16 orang dan menyifatkan serangan ke atas ibu kota Tripoli dan pekan Murzuq “adalah sama seperti jenayah perang.”

Serangan itu berlaku sehari selepas kerajaan yang berpangkalan di Tripoli mendakwa lima kanak-kanak maut dalam serangan udara ke atas ibu kota tersebut oleh tentera yang setia kepada komander Khalifa Haftar yang berpangkalan di Libya Timur.

Pada April, tentera yang bersekutu dengan Haftar telah melancarkan satu kempen ketenteraan bagi  merampas Tripoli dari Kerajaan Perpaduan yang diiktiraf PBB namun setakat ini gagal melepasi sempadan ibu kota itu.

Lebih 1,000 orang terbunuh sejak operasi itu bermula manakala lebih 5,000 lagi cedera, menurut data PBB.

Sejak penggulingan bekas pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011, dua kuasa muncul di Libya: satu di bahagian timur dan satu lagi di Tripoli.– BERNAMA