PBB perlu desak Myanmar bawa pulang pelarian Rohingya

PBB perlu desak Myanmar bawa pulang pelarian Rohingya

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) melihat Myanmar masih berlengah dan tidak menunaikan janjinya untuk membawa pulang etnik Rohingya ke sana semula walaupun hampir setahun perjanjian tersebut dimeterai bersama Bangladesh.

Kini, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina telah mendesak masyarakat antarabangsa meningkatkan tekanan ke atas Myanmar supaya segera melaksanakan proses yang tertangguh itu.

Serantau Muslim merasakan kenyataan Setiausaha Luar Bangladesh, Shahidul Haque juga perlu diberi perhatian segera daripada seluruh pihak kerana Bangladesh bakal menempatkan pelarian Rohingya di Bhasan Char berikutan penangguhan yang dilakukan Myanmar di samping tidak akan menempatkan minoriti Islam tersebut secara kekal di Bangladesh.

Demikian kata Pengerusi Serantau Muslim, Dr Raja Iskandar Raja Yaacob dalam satu kenyataan semalam.

Kata beliau, Serantau Muslim faham bahawa penghantaran pelarian Rohingya ke pulau terpencil itu bukannya langkah terbaik namun kebanjiran pelarian dari Myanmar telah menyebabkan Bangladesh terpaksa membuat keputusan sedemikian.

“Serantau Muslim difahamkan bahawa keadaan pulau Bhasan Char adalah pulau yang paling tidak selamat untuk dihuni lebih-lebih lagi ketika musim monsun. Banyak nyawa tidak dapat diselamatkan jika bencana alam berlaku.

“Oleh hal yang demikian, Serantau Muslim sangat peduli terhadap isu ini dan menggesa Myanmar agar tidak melengahkan lagi proses membawa pulang etnik Rohingya ke negara mereka semula.

“Pelarian Rohingya yang dibawa pulang mestilah dijamin keselamatan mereka dan diberikan hak mereka sebagai rakyat yang sah,” ujarnya.

Katanya lagi, Serantau Muslim menyeru Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar terus melakukan usaha untuk mendesak kerajaan Myanmar agar dapat menerima etnik Rohingya secepat mungkin.

Serantau Muslim juga tegasnya, berharap semua negara-negara di dunia turut komited membantu memudahkan urusan etnik Rohingya ini untuk meneruskan kehidupan sukar mereka.

CATEGORIES