Malaysia Dateline

PBB sangkal dakwaan Bersatu, GPS bukan sebahagian PN

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menyangkal dakwaan Senator dari Bersatu, Jaziri Alkaf Abdillah Suffian bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, kata Abdul Karim GPS hanya mesra PN dan hanya bersama-sama dalam pembentukan sebagai Kerajaan Persekutuan sahaja selain mengukuhkan lagi kedudukan GPS di negeri ini.

“Jaziri perlu membuat kajian lebih mendalam sama ada GPS adalah sebahagian daripada PN.

“Kita (GPS dan PN) bersama-sama menjadi rakan dalam pembentukan kerajaan Malaysia pada masa itu, kerana kita mahukan kerajaan yang stabil. Sebab jika keadaan terumbang-ambing, keadaan dan perniagaan akan bertambah sukar lebih-lebih lagi apabila dilanda Covid-19.

“Itulah sebab kita menyokong (PN) tetapi itu tidak bermakna di Sarawak, kita akan menerima parti itu begitu sahaja,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sarawak menambah PN tetap boleh menjadi rakan GPS di negeri ini.

“Namun, menjelangnya Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti dan mereka (PN) secara tiba-tiba menubuhkan pejabat perhubungan negeri (Badan Perhubungan Negeri Parti PN Sarawak), kita akan curiga dengan apa yang mereka lakukan.

“Adakah selepas ini mereka mahu memberitahu yang mereka mahukan beberapa kerusi (kawasan) di negeri ini,” soal beliau.

Beliau berkata, parti baharu seperti Bersatu, Parti Amanah Negara (AMANAH ) dan sebagainya harus belajar daripada Umno yang sentiasa menghormati pendirian parti di Sarawak.

Jelasnya, sejak beberapa tahun Umno sangat menghormati parti Sarawak yang ingin mentadbir kerajaan mereka sendiri.

“Kita telah memberitahu Umno selama bertahun-tahun, jangan datang ke negeri ini kerana kita dapat menjaga negeri ini sendiri.

“Sehubungan itu, saya berharap agar parti politik seperti PN ataupun parti lain belajar daripada Umno. Jangan pecah-belahkan kami,” ujarnya.

Abdul Karim berkata, Malaysia mengamalkan sistem demokrasi yang mana parti politik yang berdaftar ada hak untuk mengembang dan juga berpolitik di mana-mana negara ini.

“Anda harus faham mengapa GPS ditubuhkan dan bagaimana denyutan rakyat Sarawak.

“Mereka (rakyat Sarawak) mahu parti yang menjaga Sarawak adalah parti dari anak Sarawak. Itu lah sebab kita tidak akan menyokong parti lain dari Semenanjung Malaysia biarpun PN rakan kita.

“Maka dengan ini sekali lagi saya tegaskan bahawa Sarawak bukan anggota PN, ia lebih kepada formula PN + GPS, yang bermaksud rakan politik di peringkat persekutuan (sahaja) tetapi tidak di peringkat negeri,” katanya.