Malaysia Dateline

PBK umum 15 calon pertama bertanding PRN12

Parti Bumi Kenyalang (PBK) telah mengumumkan senarai nama 15 calon yang disahkan akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 yang dijangka Disember depan.

Menurut presidennya, Voon Lee Shan dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau sendiri akan turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Batu Lintang.

Katanya, enam lagi kerusi di Bahagian Kuching iaitu Padungan (Raymond Thong), Pending (Teo Kuang Kim), Kota Sentosa (Lue Cheng Hing), Batu Kitang (Wong Tun Teck), Batu Kawah (Chai Kueh Khun) dan Stakan (Atet Dego).

Manakala, katanya lapan lagi kerusi iaitu Sebuyau (Wan Chee Wan Mahjar), Lingga (Baha Iman), Beting Maro (Jackie Chiew), Balai Ringin (Kasim Mana), Bukit Begunan (Marcus Kayong), Simanggang (Peli Aron), Engkilili (Stel Datu) dan Batang Ai (Usop Asun).

“Kita hanya ada dua lagi kerusi yang tidak diisi di bahagian Kuching iaitu Demak Laut dan Samariang dan kita memanggil calon yang sesuai untuk bertanding di bawah parti kami di dua kerusi ini,” jelas beliau.

Sementara itu, tambahnya bagi kerusi majoriti Bidayuh, Opar, Tasik Biru, Tanjong Datu, Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja semuanya diisi oleh pasukan profesional termasuk ahli sains, jurutera dan individu berpelajaran yang akan diumum tidak lama lagi.

“Kami yakin Parti Bumi Kenyalang dengan visinya untuk mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan bagi Sarawak dari Persekutuan Malaysia akan mewujudkan impak tinggi kepada perubahan senario politik Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak para penyokong untuk berdiri teguh di belakang parti untuk menawan kerajaan Sarawak selepas PRN12 kelak

“Kita turut meminta penyokong untuk membantu parti dan calon dalam pada juga cara termasuk penyediaan logistik, tenaga kerja dan dana bagi pilihan raya,” tegasnya lagi.