Malaysia Dateline

PBRKL 2020 harus dinamik untuk penambahbaikan, kata PAM

Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020 (PBRKL 2020) harus dinamik agar ada ruang untuk penambahbaikan bila perlu pada masa depan, kata Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM).

Presidennya Ezumi Harzani Ismail berkata walaupun terdapat pelbagai ruang untuk penambahbaikan dalam pelan itu sendiri, amat perlu ditetapkan garis asas bagi perancangan bandar raya KL dan memastikan pembangunan dilaksanakan dengan kawalan perancangan.

”Pembangunan pada masa depan bagi tanah yang diwartakan di bandar raya Kuala Lumpur hanya boleh dibenarkan jika ia selari dengan PBRKL 2020.

“Menerusi perwartaan PBRKL 2020, asas untuk kawalan pembangunan secara perundangan sudah ada, khususnya pengezonan guna tanah, ratio plot dan kawasan khas ekonomi. Pada masa sama, kawasan hijau yang diwartakan, taman dan kemudahan awam akan dilindungi daripada pembangunan yang tidak perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata tempoh hayat PBRKL 2020 adalah singkat, justeru PAM bersedia menawarkan khidmatnya dalam Lembaga Penasihat Perancangan KL bagi menyediakan PBRKL 2040.

Selain itu katanya PAM juga berhasrat menganjurkan sesi perundingan dengan badan bukan kerajaan sebagai langkah proaktif dalam menjaga kepentingan warga Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad baru-baru ini dilaporkan berkata sebanyak 74 projek yang tidak memenuhi kriteria atau bertentangan dengan PBRKL 2020 kini dalam proses perundingan semula.

Sebanyak 176 permohonan projek dan 102 projek pembangunan telah diluluskan bawah PBRKL 2020.