Malaysia Dateline

PBS bimbang perlantikan pemimpin Pas sebagai Adun Sabah

Parti Bersatu Sabah (PBS) mengakui bimbang atas pelantikan seorang ahli Pas sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, sedangkan ahli itu tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Presidennya Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, kebimbangan itu berikutan keluhan rakyat dan ahli politik di negeri itu sendiri selepas ahli parti yang mengamalkan ideologi politik berasaskan agama dilantik tanpa mengambil bahagian dalam Pilihanraya.

Katanya, biarpun PBS telah mendapat penjelasan sebelum ini berhubung perkara berkenaan, namun parti itu tetap dengan pendirian bahawa pelantikan tersebut tidak seharusnya dibuat.

“Seperti yang telah saya maklumkan kepada orang ramai sebelum ini, PBS telah menyuarakan pendapat mengenai perkara ini kepada pemimpin tertinggi Perikatan Nasional (PN). Kami telah mendapat penjelasan mereka.

“Walaupun begitu, kami mempertahankan kedudukan asal kami bahawa tidak perlu membuat preseden (precedent) untuk pelantikan itu diberikan, kerana kebimbangan mengenai isu agama,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada semalam, Setiausaha Perhubungan Pas Sabah Dr Aliakbar Gulasan dilantik menjadi Adun negeri Sabah.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu menjadi antara enam nama yang mengikuti majlis angkat sumpah Kabinet Negeri dan menerima watikah Adun (dilantik).

Bagaimanapun Maximum berkata, memandangkan pelantikan telah pun dibuat, mereka akan memikul peranan sebagai pemantau dan menjadi semak dan imbang bagi memastikan kebimbangan rakyat Sabah tidak terabai.

Beliau juga melahirkan harapan dapat bekerjasama dengan wakil Pas yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan berasal dari Tenom.

Pada masa sama, beliau yakin Aliakbar yang memegang jawatan sebagai Adun dilantik akan berusaha untuk menyangkal segala persepsi orang ramai mengenai Pas di Sabah.