Malaysia Dateline

PBS lantik Malianah Ugau pangku ketua wanita

Lima hari selepas Ketuanya Datuk Anita Baranting bertindak keluar parti, sayap Wanita Parti Bersatu Sabah (PBS)  hari ini sebulat suara bersetuju agar Timbalan Ketua Datin Malianah Ugau menerajui mereka.

Pelantikan beliau sebagai pemangku ketua Wanita PBS diumumkan oleh Presiden parti Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada mesyuarat khas dengan sayap itu di ibu pejabat PBS di Donggongon, di sini.

Dalam ucapannya, Ongkili meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Anita yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tandek menyertai Parti Warisan Sabah.

“Tindakan mengejut beliau itu memang mengecewakan kita semua dan saya sendiri kerana kita telah melatih beliau dengan baik selama berdekad dan lebih mengecewakan lagi beliau melompat parti sehari selepas kita meraikan sambutan ulang tahun ke-34 parti,” katanya.

Sambil menggesa anggota Wanita PBS meneruskan perjuangan, Ongkili berkata kehilangan pemimpin tidak menjejaskan parti dan sayap Wanita kekal teguh.

Sementara itu, Malianah dalam ucapannya berikrar untuk meneruskan perjuangan parti serta mempertahankan matlamat PBS.

“Kami beri jaminan kepada presiden dan pucuk pimpinan parti yang kami akan kekal (bersama parti),” katanya.

— BERNAMA