Malaysia Dateline

PBS sertai Pas dalam PN

Parti Bersatu Sabah (PBS) hari ini secara rasmi menyertai Pas dalam gabungan Parti Perikatan Nasional (PN).

Laman rasmi Facebook PN memberitahu penyertaan PBS itu turut disaksikan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Takiyuddin Hassan yang juga Setiausaha Agung Pas.

“Sejarah tercipta. Parti Bersatu Sabah (PBS) secara rasminya telah menjadi rakan kongsi politik kepada Perikatan Nasional (PN) pada hari ini.

“Setiausaha Agung PN, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung PBS, YBhg. Dato’ Jahid Nordin Jahim telah menandatangani Perjanjian Persefahaman Politik (Political Partnership Agreement) di Pusat Khidmat Masyarakat PBS Tamparuli,” dipetik Facebook PN lagi.

Pada 1 Mac lalu, Presiden PBS, Datuk Maximus Ongkili memilih untuk memberi sokongan yang sepenuhnya terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Pas 12 September lalu, Muhyiddin mengumumkan gabungan parti yang disertai Barisan Nasional (BN), PN dan PBS akan dikenali sebagai Gabungan Rakyat Sabah.

Menurutnya, nama blok politik itu digunakan secara rasmi selepas 26 September ini jika berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Muhyiddin adalah gabungan kerjasama antara Bersatu, BN, Pas dan beberapa bekas ahli PKR yang membentuk PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).