Malaysia Dateline

PBT laksana operasi nyah kuman tidak ikut SOP kementerian

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, operasi nyah kuman yang dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian.

Menurutnya, kebanyakan operasi nyah cemar yang dijalankan itu dilakukan terlebih dahulu tanpa merujuk kepada KKM.

Sehubungan itu kata beliau, pihanya akan berkomunikasi dan berhubung dengan pihak terbabit serta memberi panduan untuk kerja pembersihan atau nyah cemar di kawasan berkaitan.

Selain itu juga katanya, pihaknya akan menasihatkan pihak terbabit apa yang boleh dibuat, dan apa yang tidak boleh dibuat sepanjang proses terbabit, lapor Metro semalam.

“Mereka laksanakan lebih awal, KKM akan beri garis panduan contohnya menggunakan bahan kimia yang diluluskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta laksanakan operasi terbabit,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman yang mempertikaikan proses nyah cemar yang dijalankan.

Dr Lokman dilaporkan berkata, beliau amat terkejut apabila melihat satu klip video baru-baru ini mengenai operasi nyah kuman apabila cecair disemburkan ke atas permukaan jalan raya.

Katanya, tindakan menyemburkan cecair nyah kuman di jalan raya itu sebagai satu pembaziran dan wang yang dikeluarkan itu lebih baik digunakan untuk membeli peralatan perlindungan diri (PPE).

Dr Lokman mempersoalkan apakah asas dan bukti di sebalik tindakan disenfeksi jalan raya itu sekali gus mempersoalkan siapakah yang menyediakan SOP untuk tujuan itu dan yang mengesahkannya.