Malaysia Dateline

PBT wajib selaras kenaikan kutipan cukai perkhidmatan setiap lima tahun

Kesemua 155 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara akan diwajibkan membuat pelarasan kenaikan cukai-cukai perkhidmatan di bawah bidang kuasa mereka bagi setiap lima tahun bermula tahun hadapan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin berkata ia perlu bagi memastikan setiap PBT membuat kutipan cukai secara lebih seragam kerana terdapat PBT yang tidak melakukan semakan kenaikan kadar kutipan cukai perkhidmatan melebihi 20 tahun.

“Pelarasan kenaikan cukai setiap lima tahun ini perlu kerana jumlah penduduk semakin meningkat setiap tahun dan lebih banyak penawaran perkhidmatan yang perlu dicukaikan kerana ia adalah sumber pendapatan PBT itu sendiri.

“Ia selari dengan Akta Kerajaan Tempatan (AKT) 1976 yang memerlukan PBT menaikkan kadar kutipan cukai perkhidmatan setiap lima tahun sekali,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak Senario Ampang dan Santai @ Ampang Point semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata PBT haruslah memastikan kenaikan kutipan cukai itu tidak membebankan komuniti di bawah pentadbiran mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Undang-undang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Johari Atli berkata Senario Ampang dan [email protected] Point merupakan projek kerjasama dengan KPKT untuk menceriakan kawasan itu dan menjadikannya satu daya tarikan baharu di kawasan pentadbiran majlis itu.

“Antara yang menarik di kawasan Senario Ampang ialah pelbagai lukisan mural tiga dimensi (3D) termasuk panorama Zoo Negara dan Empangan Klang Gates di dinding dan lantai di sepanjang 145 kaki lorong belakang di Jalan Memanda 7 melibatkan 14 unit bangunan premis perniagaan.

“Sementara kawasan [email protected] Ampang Point pula terdapat plaza makanan di kawasan seluas 7,400 kaki persegi khusus untuk 15 penjaja makanan “food truck” selain adanya taman poket dan lampu hiasan yang menarik,” katanya.

— BERNAMA