PCOM cadang kerajaan tubuh Jawatankuasa bincang isu penindasan rakyat Palestin

PCOM cadang kerajaan tubuh Jawatankuasa bincang isu penindasan rakyat Palestin

Kerajaan disaran menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi membincangkan sebarang isu penindasan terhadap Palestin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, perkara itu dicadangkan oleh Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) bagi menyatakan sokongan terhadap negara bergolak itu.

Katanya, beliau menyambut baik hasrat tersebut memandangkan kerajaan sentiasa prihatin terhadap isu yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

“Isu penindasan Palestin ini merupakan tanggungjawab setiap rakyat Malaysia, bukan sahaja isu Palestin tetapi sebarang isu penindasan di negara-negara lain juga diberi perhatian.

“Walaupun saya tidak boleh menubuhkan jawatankuasa tersebut secara langsung tetapi Malaysia sendiri merupakan sebahagian daripada Kesatuan Parlimen Antarabangsa (IPU) yang mana Israel juga merupakan ahli jadi dari situ kami boleh menyuarakan pandangan kami mengenai penindasan terhadap Palestin,” katanya dalam kenyataan dipetik hari ini.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menerima kunjungan hormat wakil-wakil PCOM di Bilik Kunjungan Hormat di Parlimen, hari ini

Pertemuan hampir setengah jam dengan lima wakil PCOM itu membincangkan usaha dan sokongan Malaysia dalam membantu Palestin daripada menjadi mangsa penindasan rejim Israel.

Mohd Rashid berkata kunjungan hormat PCOM tersebut sebagai mengucapkan tahniah kepada kerajaan baharu dan menyampaikan ucapan terima kasih atas sokongan negara yang tidak pernah putus dalam membantu rakyat Palestin.

“Isu Palestin ini turut dibawa dalam kamar khas di Parlimen baru-baru ini dan menunjukkan semua anggota Parlimen sentiasa memberi sokongan kepada mereka,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar pada 25 Julai lepas membahaskan usul berhubung tindakan Malaysia mengenai isu pelanggaran hak kemanusiaan dan kekejaman terhadap Palestin oleh Israel di dalam kamar khas, di Bangunan Parlimen.

CATEGORIES
TAGS