Malaysia Dateline

PCS juga tak letak calon bertanding di Batu Sapi

Selepas Barisan Nasional, Parti Cinta Sabah (PCS) yang diterajui Datuk Seri Anifah Aman juga memutuskan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agungnya Ansari Abdullah dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata keputusan itu diambil berikutan Sabah tidak mampu dan tidak berupaya lagi untuk menanggung penularan kes Covid-19 jika proses kempen dan pengundian PRK di Batu Sapi dilaksanakan.

“Pada kami nyawa dan keselamatan rakyat mengatasi segala pertimbangan politik.

“Sabah sedang dilanda jangkitan Covid-19 yang amat teruk dan jelas SOP yang dikeluarkan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 baru-baru ini gagal membendung penularan virus itu,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilapor akan mengadakan PRK bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi susulan kematian penyandangnya, Liew Vui Kong, pada 2 Oktober lalu.

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataannya semalam berkata BN tidak akan meletakkan calon bertanding untuk pilihanraya kali ini.