Malaysia Dateline

PDAM desak kerajaan naikkan kadar komisen jualan bahan api

Persatuan pengusaha-pengusaha Stesyen Minyak Malaysia (PDAM) hari ini mendesak kerajaan menaikkan kadar komisen jualan bahan api bagi menampung kos operasi yang meningkat berikutan penetapan harga jualan runcit petroleum secara mingguan yang ditetapkan kerajaan bermula Isnin ini.

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata penyelesaian itu adalah antara langkah paling tepat dalam menjaga kebajikan pengusaha stesen minyak dan pengguna memandangkan kali terakhir semakan semula kadar komisen jualan bahan api adalah pada 2008 iaitu 12 sen seliter bagi petrol dan tujuh sen seliter bagi diesel.

“Sekarang ini, komisen kami adalah kira-kira 12 sen untuk petrol dan tujuh sen untuk diesel (seliter), tetapi kami tidak dapat sepenuhnya kerana ada yang ditolak sebagai yuran lesen operator kepada syarikat minyak.

“Sudah 10 tahun kami menerima komisen yang sama, sama ada harga minyak naik atau turun, justeru kami mahu kerajaan naikkan komisen (jualan bahan api) kepada 15 sen seliter selain selaraskan komisen petrol dan diesel,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata sekiranya permintaan komisen bagi jualan bahan api tidak ditunaikan, pihaknya terpaksa mengambil beberapa langkah drastik termasuk memendekkan tempoh operasi stesen minyak kepada hanya 18 jam berbanding 24 jam ketika ini berikutan penurunan mendadak harga minyak yang dijangka bermula Isnin ini.

Katanya dasar baharu itu akan mengakibatkan pengusaha stesen minyak berdepan peningkatan kos operasi berganda kerana mereka terpaksa membeli stok minyak pada harga lebih tinggi tetapi perlu menjual pada harga lebih rendah.

Terdahulu Khairul Annuar mengadakan perjumpaan bersama dengan anggota PDAM daripada 3,500 stesen minyak seluruh negara bagi membincangkan dengan lebih lanjut hasil keputusan kerajaan mengapungkan dan menetapkan harga produk petroleum secara mingguan.

Katanya satu petisyen yang ditandatangani oleh pengusaha minyak terjejas akan dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meminta supaya apungan dilakukan secara bulanan dan menaikkan serta menyelaraskan komisen pengusaha stesen minyak.

— BERNAMA