PDB naik taraf lebih 1,000 stesen minyak dengan prasarana generasi baharu

PDB naik taraf lebih 1,000 stesen minyak dengan prasarana generasi baharu

Petronas Dagangan Bhd (PDB) menaik taraf lebih 1,000 stesen minyak Petronas di seluruh negara dengan prasarana rangkaian generasi seterusnya.

Kerja menaik taraf itu akan dijalankan oleh Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi cabang penyelesaian perniagaan sektor awam dan enterprisnya, TM ONE.

“Penaikan taraf di seluruh negara itu perlu kerana teknologi baharu akan menyediakan kapasiti dan sokongan kepada PDB untuk memperkenalkan lebih banyak inovasi berasaskan digital kepada pelanggan kami, seperti aplikasi Setel,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Syed Zainal Abidin dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Syarikat itu berkata aplikasi mudah alih Setel merupakan aplikasi e-pembayaran pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang membolehkan pengguna membeli bahan api secara terus daripada kenderaan mereka.

Susulan penaikan taraf rangkaian itu, rangkaian stesen PDB akan dapat menerima lebih banyak fungsi berasaskan digital yang akan mengubah cara pelanggan berinteraksi dengan stesen.

Penambahan lain yang boleh dilaksanakan termasuklah kiosk layan diri, gamifikasi, sistem pembayaran yang dipertingkatkan, perkhidmatan mudah alih bersepadu dan penawaran peribadi unik.

Mengulas mengenai kerjasama itu, Naib Presiden Eksekutif TM ONE, Ir Azizi A. Hadi berkata: “Sebagai pemboleh aspirasi Negara Digital Malaysia, TM menerusi TM ONE komited memainkan peranan strategik kami dalam membangunkan lebih banyak perniagaan dan kerajaan digital menerusi Penyelesaian dan Kesambungan Digital.”

Kerjasama itu adalah susulan permeteraian memorandum persefahaman antara Petroliam Nasional Bhd dan TM pada April 2018,  di mana kedua-dua syarikat komited untuk meningkatkan kecemerlangan operasi masing-masing serta keselesaan pelanggan, memanfaatkan kekuatan masing-masing dan nilai bersama.- BERNAMA