Malaysia Dateline

PDC terus rancakkan industri pelaburan Pulau Pinang

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan terus merancakkan perkembangan industri di negeri ini dengan mengintai lebih banyak peluang pelaburan dalam sektor industri elektrik & elektronik (E&E).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pada tahun ini terdapat beberapa rundingan pelaburan sedang dijalankan dengan beberapa pihak termasuk dari pihak Kerajaan Persekutuan dan ia kini dalam peringkat akhir rundingan.

“Kita berasa bangga bahawa negeri Pulau Pinang terus memainkan peranan sebagai negeri yang menerajui pembangunan industri khususnya dalam sektor elektrik dan elektronik. Pelaburan yang masuk kebanyakannya dari sektor ini,” katanya semasa berucap pada program penanaman pokok sempena Ulang Tahun Ke – 50 PDC di Penang Science Park-North  pada Rabu.

Chow berkata kerajaan negeri menjangkakan aliran pelaburan yang bakal masuk ke negeri ini mencecah RM12 bilion penghujung tahun ini dengan melihat beberapa rundingan yang bakal dimeterai dan berharap sasaran itu akan terus meningkat pada tahun akan datang.

“Saya percaya jumlah keseluruhan pelaburan masuk yang dicatatkan dalam tempoh setahun ini akan mencapai rekod RM12 bilion atau lebih, namun kita akan mengetahuinya selepas diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” katanya.

Chow berharap pasukan pengurusan dan seluruh warga PDC akan terus memainkan peranan dan menunjukkan semangat juang yang kuat untuk menyahut peluang-peluang yang datang ke negeri ini bukan sahaja daripada pelabur luar malahan pelabur tempatan.

Terdahulu pada majlis itu sebanyak 100 pokok ditanam pada program berkenaan di kawasan itu melibatkan 50 pokok tembusu dan 50 pokok penaga laut sebagai simbolik sambutan ulang tahun PDC.

Sebanyak 506 batang pokok teduhan akan ditanam di sepanjang jalan di kawasan berkenaan melibatkan pokok-pokok teduhan daripada spesies penaga laut, tembusu dan gelam tikus.– BERNAMA