Malaysia Dateline

PdPR 2.0: Mana 150 ribu ‘laptop’, Radzi Jidin jangan mungkir janji

Sesi persekolahan secara bersemua ditangguhkan dan ini bermakna sesi PdPR akan digunakan sepenuhnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Biro Pendidikan AMANAH sejak PdPR 1.0 dilaksananakan belum dapat dilihat secara tuntas, Menteri Pendidikan Radzi Jidin bersama pasukannya mahu menunaikan janjinya kepada rakyat termasuk menyediakan 150,000 komputer riba kepada pelajar B40.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan penutupan sekolah seminggu sebelum Hari Raya Aidilfitri sehingga cuti penggal pertama tamat.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional Datuk Dr Hasan Bahrom juga mempersoalkan apa tindakan Menteri Pendidikan termasuk dua Timbalan Menterinya apabila melihat realiti sebenar betapa sukarnya proses PdPR berjalan khususnya di kawasan miskin bandar dan perkampungan.

“Hampir setiap hari media melaporkan akan ada keluarga yang gagal menjalani proses PdPR secara berkesan akibat kekurangan kelangkapan.

“Bolehkah Menteri Pendidikan dan KPM menyatakan sama ada proses PdPR di seluruh Malaysia berjalan lancar atau tidak, bentangkan kepada umum data dan peratusan jumlah murid yang menyertai PdPR 2.0 sejak ia dikuatkuasakan.

“Bentangkan juga pandangan pihak guru yang ada dilapangan adakah proses PdPR telah memberi kesan kepada murid-murid,”katanya.

Biro Pendidikan AMANAH membangkitkan janji kementerian untuk memastikan 500,000 orang guru menerima vaksin.

“Adakah sasaran ini telah tercapai? Dan berapakah jumlah terkini guru yang telah menerima vaksin? Hal ini penting kerana KPM tidak mempunyai perancangan lain selain menutup dan membuka sekolah,” soal beliau.

Justeru katanya, Radzi Jidin harus menunaikan janjinya kepada murid dan guru seperti penerimaan vaksin dan bantuan komputer riba.

“Atau Menteri Pendidikan bersama dua timbalan menteri harus mengakui kegagalan mereka memimpin kementerian pendidikan negara,” ujar beliau.