Malaysia Dateline

PdPR 2021: Ibu bapa pening laptop tak cukup

Sesi persekolahan tahun 2021 yang bermula pada hari ini dengan pembelajaran secara dalam talian atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menimbulkan rungutan kepada ibu bapa.

Apabila lebih daripada dua orang anak yang bersekolah di mana masing-masing menggunakan komputer, komputer riba atau ‘laptop’ untuk mengikuti kelas.

Seorang bapa Khairul Hartimi yang mempunyai empat anak bersekolah menghadapi masalah tidak cukup laptop untuk anak-anaknya mengikuti kelas.

Malahan katanya kelas keempat-empat anaknya iaitu dua orang bersekolah rendah dan dua lagi sekolah menengah mempunyai jadual waktu kelas yang hampir sama.

“Sekolah sudah bermula.

“Pening sikit ibu bapa jika anak-anak ramai yang bersekolah era PKP ni.

“Seorang sesi suai kenal, 3 orang dah mula kelas google meet. Wajib ada laptop atau komputer dan internet yang kuat,”luahnya di Facebook pagi ini.

Beliau berkata anak-anaknya terpaksa berkongsi sebiji laptop untuk belajar dan bimbang akan ada anaknya tidak dapat mengikuti kelas pagi ini.

“Laptop hanya ada 2. Cikgu bawa ke sekolah 1, tinggal 1 untuk dikongsikan 4 orang anak. (Jemmmm)…Ada anak yang tak dapat masuk kelas nanti.

“Nak beli baru, duit lagi…(aiii…zaman tak ade job nih),”katanya sambil meletakkan icon menangis.

Sambil meletak tanda pagar bapa pening beliau berkata telefon bimbitnya sudah mempunyai berbelas kumpulan ‘telegram’ sekolah anak-anaknya.

“Ada juga sekolah buat group telegram ikut subjek, kalau 10 subjek, 10 lah group nya…(aduiii..).

“Ada juga sekolah agak bijak, hanya menggunakan 1 sahaja group telegram ikut kelas anak dan semua cikgu subjek ada di dalamnya. Agak tersusun arahannya,”kata beliau.

Sehubungan itu, seorang ibu yang dikenali sebagai Ana Mohd Nasir juga merungut tentang perkara ini.

Seminggu sebelum persekolahan sesi 2021 bermula beliau sudah pening memikirkan ketidakcukupan laptop untuk pembelajaran anak-anaknya.

“Macam mana nak mula sekolah laptop ada sebiji sahaja, Budak-budak 3 orang ni kena guna serentak sebab kelas mereka hampir sama waktu,”luah ibu beranak lima.

Sebelum ini difahamkan Kementerian Pendidikan memberi laptop dan telefon pintar kepada pelajar dalam kalangan keluarga B40 sahaja.

“Kerajaan mahu gunakan kaedah PdPR sesi 2021 secara meluas, tapi komputer tidak cukup dalam masa yang sama internet pun tidak laju. Ibu bapa kena keluar belanja lagi lah tambah-tambah lagi musim PKP.

“Beli komputer dan upgred internet…aduh duit lagi,” rungut beliau.

PdPR telah bermula hari ini bagi sesi persekolahan pada tahun 2021 di seluruh negara untuk memastikan murid dapat mengikuti pembelajaran secara optimum.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) komited melaksanakan PdPR bagi membolehkan sesi pembelajaran diteruskan meskipun negara masih berdepan penularan COVID-19 yang belum reda.

Menerusi pendekatan dalam talian, cara pembelajaran melalui capaian internet, peranti dan belajar secara ‘real time’. Bagi pelaksanaan luar talian pula murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian internet.