Malaysia Dateline

PdPR: Baiki segera liputan internet atau anda zalimi pelajar Sarawak

Apabila Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelajar di Sarawak adalah antara mangsa utama dasar baru ini.

Ini kerana, liputan internet yang rendah dan peralatan untuk pembelajaran juga tidak ada di banyak tempat khasnya di luar bandar negeri ini.

Sehubungan dengan itu, Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Sarawak menggesa agar Kerajaan Negeri Sarawak membaiki segera liputan internet di seluruh kawasan di negeri ini bagi memudahkan pelajar-pelajar mengikuti PdPR.

Timbalan Pengerusinya, Hud Andri Zulkarnaen berkata, memandangkan ketika ini pembelajaran dari rumah sedang giat dilaksanakan, maka liputan internet yang baik dan lancar adalah amat diperlukan khususnya kepada keluarga yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Katanya, terdapat sekolah-sekolah di kawasan di negeri ini langsung tidak mempunyai talian internet sekali gus menyukarkan para pelajar dan guru terpaksa mencari‘signal’ sehingga terpaksa berjalan jauh bagi mendapatkan akses rangkaian talian.

“Amat sedih dan daif apabila melihat anak-anak serta guru di sekolah rendah dan menengah terpaksa berkhemah di luar kawasan sekolah sejauh lima kilometer semata-mata hendak mendapatkan akses internet.

“Justeru, kepada Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus melihat masalah ini dengan lebih serius dengan kadar segera untuk membaiki sistem talian di seluruh kawasan sekolah terutamanya di luar bandar dan pedalaman.

“Dan saya yakin bahawa Kerajaan GPS mampu membaiki sistem internet ini kerana memiliki segala sumber kepakaran dan kewangan negeri,” ujar Hud Andri ketika ditemui di Kuching hari ini.

Jelas beliau lagi, selain membaiki sistem talian Kerajaan GPS juga disaran untuk menyumbangkan peranti tablet kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang tidak kemampuan bagi tujuan PdPR lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.

“AMANAH Sarawak memandang serius berkaitan dengan pendidikan kerana tanpa pembelajaran yang sempurna, generasi akan datang akan kekal dibelenggu kemiskinan harta dan ilmu.

“Justeru, kita mencadangkan agar Kerajaan GPS menyumbangkan peranti tablet kepada para pelajar dari keluarga tidak kemampuan bagi tujuan PdPR dalam masa terdekat ini,” tegasnya.
Attachments area