Malaysia Dateline

PdPR: Luahan hati seorang ibu, saya sudah tidak tahan

Sorry KPM, I’m done!

Dua hari lepas ialah kemuncak kesabaran saya terhadap sistem PdPR sejak Covid menjelma di tahun 2020. Saya sudah tidak mampu cope dan perah tenaga saya lagi.

Kelas online katanya, tapi jadi kelas tampal link youtube, tempek kerja rumah online di Whatapps group. Saya cuba ikut dan fahami dari tahun lepas. Ok, mungkin perlukan masa untuk beradaptasi dengan sistem sebegini. Tapi bila tahun ini pun buat benda sama, saya give up.

Satu hari, tiga subjek. Anak saya tiga orang, tingkatan dua, darjah tiga dan darjah empat. Kelas kafa, lagi tiga subjek. Ha… kira tengok berapa subjek hendak hempuk atas kepala saya untuk mengajar anak-anak. Saya sudah sehabis baik sediakan kelengkapan belajar online di rumah. Laptop, komputer sorang satu, buku-buku latihan segala-galanya. Setiap hari dari tahun lepas, saya komited untuk anak-anak saya, saya tolak hampir semua tawaran kerja training semata-mata hendak spend┬ámasa untuk pelajaran anak-anak.

Bermula pukul 8.00 pagi, group whatsapp sekolah akan dapat link youtube, gambar-gambar dan kerja rumah. Lepas habis satu kelas. Lepas tu perkara paling annoying, berdedai-dedai senarai kehadiran dalam group whatsapp, dan juga hasil kerja sekolah disuruh cikgu semak. Kadang-kadang group whatapps sekolah jadi medan pertandingan, anak siapa siap dulu, anak siapa paling rajin, anak siapa buat elok, mak-mak siapa bagus, boleh dengan anak 24 jam.

Semalam, ada seorang cikgu sekolah anak saya yang buat kelas mengajar depan-depan melalui Google meet, Cikgu Zaiton namanya. Saya rasa betul-betul ringan sebelah bahu selepas cikgu mengajar secara two way communication begitu. Ada lagi sorang cikgu matematik tahun lepas, Cikgu Saari namanya, buat inisiatif rakam sendiri dirinya mengajar di whiteboard. Walaupun pelajar tidak dapat respon on the spot, tapi pelajar boleh rasa kehadiran cikgu. Dua cikgu ini saya puji dan sangat-sangat hargai. Terima kasih cikgu!

Petang pulak, kelas Kafa. Mujur jugak saya baru jumpa kelas Kafa swasta dalam taman ni. Dari tahun lepas merayu cari kelas Kafa tidak terima untuk pelajar baru, sampai ke tahun ini. Tidak tahu mana lagi nak hantar anak belajar agama. Tidak mengapa, bayar pun tidak apa, demi anak-anak. Alhamdulillah kelas Kafa ini ustazah ada buat Google meet, nampaklah macam kelas online. Ada interaksi guru pelajar. Anak-anak saya pun nampaknya kembali bersemangat.

Ok, masuk bab saya pulak, dari pagi siapkan sarapan, setup kelas untuk anak-anak, saya sendiri pun ada kelas online, sambil ajar anak, sambil usung laptop masuk dapur, siapkan makan tengah hari, sambil saya jawab exam, prepare modul, rakam segala. Alhamdulillah, saya sabar, dan sabar lagi lalui hari-hari mendatang.

Sampailah ke tarikh dua hari lepas, saya burnout. Saya terlampau letih, saya sudak tidak sanggup. Saya buka shower dan menangis semahu-mahunya dalam bilik air sebab tidak mahu anak-anak nampak. Lepas tu baru saya boleh cool down balik. Otak saya baru boleh berfikir secara rasional.

Saya buat keputusan, saya sudah tidak berminat ikut sistem pendidikan macam ini. Ini anak-anak saya dan saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas mereka, bukan cikgu-cikgu hatta KPM sekalipun. Kalau anak-anak saya melingkup pun, takkan ada siapa yang peduli.

Jadi saya duduk di meja tulis, dan rangka strategi baru. Saya print semua silibus sekolah anak-anak saya. Saya buat jadual kami sendiri. Setiap hari satu jam untuk kami berempat duduk dan go through setiap satu tajuk bagi satu subjek. Kerja rumah yang dikirim oleh pihak sekolah jatuh tempat kedua. Ada masa baru buat. Subjek pendidikan seni, muzik, jasmani dan lain-lain, saya tolak tepi, sebabnya saya tahu anak-anak saya sudah cukup aktif dan kreatif.

Ada satu lagi masalah berkenaan subjek sains, zaman sekarang subjek sains lebih kepada menghafal jargon-jargon dari pemahaman sains itu sendiri. Saya adalah peminat dan SPM A1 ‘scorer’ mata pelajaran sains, saya fikir, jika masa saya sekolah dulu saya dipaksa hafal inferens, malar tak malar, kemungkinan besar saya akan benci subjek sains. Subjek sains sepatutnya fun, bukan stressful.

Masa dua jam saya menangis, perasaan saya bercampur baur. Ada yang saya menangis sebab kasihankan diri saya, ibu bapa lain, dan guru-guru sekolah. Saya boleh dikatakan celik juga IT, pun rasa sangat-sangat terbeban. Saya mampu sediakan komputer, printer untuk anak-anak. Bayangkanlah ibu bapa yang kurang faham bab teknologi. Yang kurang mampu, yang diberhentikan kerja, yang anak tujuh hingga 8 orang. Cikgu-cikgu tersepit, hendak buat Google Meet, tidak semua pelajar dapat masuk, ada yang tidak pandai hendak uruskan Gmeet, ada yang line internet sangat bermasalah.

Itu belum lagi masuk ke masalah depression, ibu bapa dan guru. Setiap kali kunjungan saya ke pakar psikiatri, nurse selalu tanya, puan ni cikgu ke? Saya tanya, ramai ke cikgu-cikgu masuk sini? Raaaaaaamaiii jawabnya. Itu kalau yang tahu memang hidap depression, dan pegi dapatkan rawatan. Yang tak tahu, dan tak boleh control tu macamana? Silap2 dicekiknya anak-anak.

Kawan-kawan saya sangat ramai yang berkerjaya guru dan pensyarah, selalu mengadu, mereka memang betul-betul tersepit, hendak buat kelas online susah, pihak atasan juga menekan minta data itu ini, ibu bapa murid ramai yang bekerja dan sukar bagi kerjasama, kalau ada pun waktu malam saja. Akhirnya, back to square, tempal link, tampal kerja rumah di WhatsApp sajalah jalannya.

Kami ibu bapa sudah lelah. Duit ringgit tak payah cakaplah, laptop, printer segala-galanya terpaksa beli. Guru-guru sudah lelah, semangat mengajar kian hilang. Entahlah. Saya betul-betul penat dan fed up. Jadi saya buat keputusan, nak mengamalkan konsep ‘mampoih pi’.

Kalau anak saya larat buat kerja sekolah, buatlah. Kehadiran dalam Whatapps kelas pun saya dah menyampah nak isi. Kalau ada mood, saya isi, kalau tidak lantakkan. Sekarang kami fokus kepada strategi dan jadual baru kami. Yang penting pemahaman anak-anak, bukan kehadiran. Sejam dua sehari fokus setiap topik ‘much better’ dari hari-hari duduk buat keja sekolah, tapi haram tidak paham apa.

Sekian dulu, demikianlah berakhirnya ‘kuota berletiaq’ saya pada hari ini. Saya perlu jaga kesihatan mental dan fizikal saya, kalau saya sakit, kena masuk wad gila, sapa nak jaga anak-anak saya? Now, saya letih sangat-sangat, hendak makan ubat dan tidoq. Hari ini saya bagi cuti pada anak-anak saya. Yahooo!