PDRM ambil tindakan tegas, beku ratusan akaun keldai bernilai RM32 juta

Oleh MAISARAH AISYA

Kerap kali timbul individu tak bersalah terlibat dengan akaun keldai hanya kerana mereka meminjamkan akaun bank mereka.

Ini adalah sangat bahaya kerana segala salah laku yang berlaku menggunakan akaun tersebut akan pergi terus kepada pemilik akaun.

Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membekukan ratusan akaun keldai membabitkan RM32 juta dipercayai digunakan sindiket judi dalam talian di negara ini lapor Harian Metro.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, siasatan mendapati ada beratus-ratus judi online.

Antaranya Winbox, 99, 88 dan polis dilaporkan sedang siasat siapa di belakang aktiviti berkenaan.

“Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla) setakat ini berjaya membekukan akaun mule yang digunakan sindiket ini dianggarkan bernilai RM32 juta.

“Siasatan lanjut masih dijalankan pihak polis bagi mengenal pasti mereka yang terlibat untuk diambil tindakan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Pada masa sama Razarudin menegaskan bahawa pihak polis kini sedang giat mengesan akaun-akaun keldai bagi membanteras kegiatan haram tersebut.

“Bukan saja judi online, namun sindiket turut menggunakan akaun keldai untuk kegiatan penipuan dalam pelaburan.

“Kita juga menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah memberikan atau meminjamkan akaun bank kepada mana-mana individu kerana terdapat kemungkinan mereka dijadikan keldai akaun,” katanya.

Baca juga: Serah dokumen kepada imam, bapa bayi sakit kronik rancang kahwin minggu depan