Malaysia Dateline

PDRM disaran wujudkan rangkaian polis komuniti di taman perumahan, kampung di Melaka

Pemuda AMANAH Negeri Melaka berpendapat agar diwujudkan rangkaian Polis Diraja Malaysia (PDRM) disetiap komuniti taman perumahan dan kampung sebagai sistem tindakan pantas membanteras jenayah.

Ketuanya, Norkhairi Yusof berkata,  PDRM wajar mencadangkan supaya diwujudkan rangkaian tersebut berikutan cabaran jenayah yang semakin licik.

Katanya, Tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ masih dikekalkan sebagai tema Sambutan Hari Polis tahun ini.

“Tema yang signifikan ini menunjukkan kerjasama erat antara polis dan semua pihak amat diperlukan dalam usaha membanteras dan mengurangkan jenayah.

“Menjunjung semangat tema Hari Polis, Peranan mereka amat besar dan miliki nilai berharga

“Mereka wajar dihargai atas pengorbanan menjaga keselamatan, membanteras jenayah, menjaga kepentingan dan kesejahteraan masyarakat,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Polis Ke-212 yang berlangsung semalam.

Beliau juga memperingatkan rakyat Malaysia tentang pengorbanan warga PDRM dalam memastikan kedaulatan dan keamanan negara daripada sebarang ancaman hingga ke peringkat mempertaruhkan nyawa.

“Kita harus lihat, kekentalan dan kesiapsiagaan mereka meninggalkan keluarga tercinta, bertugas tanpa mengira masa demi menjalankan tanggungjawab kepada negara, bangsa dan agama.

“Inilah bukti mereka amat komited dalam memenuhi aspirasi PDRM.

“Kesepakatan dan kerjasama yang jitu dan padu antara polis dan masyarakat perlu terus diperkasakan demi menjaga keharmonian perpaduan, keamanaan dan kesejahteraan negara,” katanya.