Malaysia Dateline

PDRM kemuka cadangan berhubung keputusan gubal, mansuh undang-undang

Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan berhubung keputusan untuk menggubal, memansuh, memperbaharui dan meminda lebih 100 undang-undang menjelang sidang Parlimen, Isnin ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia dikemukakan secara bertulis serta lisan melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan PDRM enam bulan lepas.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan terdiri daripada pegawai atasan, pegawai perundangan, ketua polis negeri, dan pesara polis bagi mendapatkan pandangan sama ada sesuai atau tidak untuk mereka mengemukakan kepada kerajaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2018 di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, di sini hari ini.

Januari lalu, Menteri di Jabatan, Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong memaklumkan lebih 100 undang-undang akan digubal, dipinda, diperbaharui dan dimansuhkan.

Selain itu, Mohamad Fuzi berkata PDRM akan turut mengusulkan cadangan kepada kerajaan untuk memberi perhatian terhadap isu kebajikan pegawai dan anggotanya.

Antara senarai undang-undang yang dikemukakan ialah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, Akta Pencegahan Jenayah 1959, Akta Pencegahan Keganasan 2015, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

Undang-undang lain termasuk Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Kerja 1955, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Rang Undang-Undang Gangguan Seksual, Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.