Malaysia Dateline

PDRM pastikan tindakannya berpaksi pada DKKA

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan segala tindakannya berpaksikan kepada Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dilancarkan hari ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata DKKA berkenaan menjelaskan lagi hala tuju yang seharusnya diikuti oleh PDRM selain kesemua enam teras yang digariskan oleh DKKA ini memerlukan penglibatan aktif warga PDRM.

“Saya dan warga PDRM amat berpuas hati dan menyokong penuh dasar ini yang memantapkan lagi ketumbukan PDRM,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai DKKA.

Hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan DKKA di Kompleks KDN di Putrajaya yang mengandungi enam teras utama antaranya mempertahankan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan institusi utama negara; meningkatkan tadbir urus dan integriti agensi penguatkuasaan keselamatan; dan memperkukuhkan kawalan keselamatan sempadan.

Menurut Dr Mahathir DKKA akan menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang berdaulat, aman, makmur dan dihormati di persada dunia.

DKKA, yang disokong oleh 21 strategi, dirangka dengan kaedah rujukan silang dengan Buku Harapan; Membina Negara Memenuhi Harapan, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11, Wawasan 2020 dan Dasar Keselamatan Negara.

Sementara itu, aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan perlu memastikan lebih ramai kakitangan penguatkuasa menjalankan tugas dengan penuh integriti bagi memastikan objektif DKKA tercapai.

Beliau yang juga Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berkata orang ramai juga perlu melibatkan diri dengan penuh komitmen dengan bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Saya gembira apabila salah satu teras dalam DKKA adalah meningkatkan tadbir urus dan integriti dalam agensi penguatkuasa yang merupakan sektor penting dalam perkhidmatan awam negara.

“Langkah ini penting kerana statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menunjukkan 46.3 peratus daripada 4,860 orang yang ditangkap bagi kesalahan rasuah dari 2014 hingga Jun tahun ini adalah penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lee berkata DKKA juga dilancarkan tepat pada masanya kerana ia mampu menjamin kesejahteraan rakyat dan kelangsungan Malaysia sebagai negara aman, makmur, berdaulat dan dihormati.– BERNAMA