Malaysia Dateline

PDRM perketat syarat lesen senjata api

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengkaji semula beberapa syarat permohonan untuk syarikat keselamatan swasta mendapatkan lesen pengendalian senjata api.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Mazli Mazlan berkata, mana-mana syarikat yang memohon untuk mendapatkan senjata selepas ini diwajibkan untuk mendaftar keahlian di bawah Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM).

Ini kerana katanya, PDRM mencatat beberapa kes dimana syarikat yang memohon lesen senjata api tidak bekerjasama dengan mana-mana pihak keselamatan yang memerlukan keperluan senjata api.

“Dalam pertemuan bersama ahli jawatankuasa Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) baru-baru ini, mereka telah mengemukakan isu berkaitan ‘limitations’ yang dihadapi oleh syarikat-syarikat keselamatan dari sudut permohonan dan pengendalian senjata api.

“PDRM sedang mengkaji dan akan mempertimbangkan permohonan tersebut sewajarnya. Syarat permohonan selepas ini akan lebih ketat kerana kita tidak mahu ada peningkatan statistik lambakan senjata kepada syarikat yang tidak layak mendapatkannya.

“Ini kerana, sebelum ini ada yang kita bagi lesen senjata api, tapi dia tak bergerak pun dan ini akan menyumbang kepada masalah yang lebih parah,”katanya kepada Malaysia Dateline selepas merasmikan Majlis Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PIKM kali ke 26, hari ini.

Tambah beliau, kebanyakan syarikat yang memohon lesen senjata api hanya mempunyai kontrak kerjasama pendek dengan agensi keselamatan selama dua hingga lima tahun sahaja.

Dengan itu katanya, masalah timbul apabila kontrak tersebut tamat dan syarikat yang mempunyai lesen tersebut tidak mempunyai kontrak kerjasama dengan agensi lain yang menyebabkan akhirnya senjata tersebut tidak digunakan.

Lebih parah katanya, wujud pula permasalahan dimana syarikat-syarikat itu akhirnya menyewakan senjata berkenaan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kita tak mahu ada yang salahguna lesen dan senjata api yang kita berikan seperti sewa senjata tersebut kepada pihak ketiga yang akan menyumbang peningkatan jenayah dalam negara.

“PDRM akan melihat syarikat-syarikat yang melanggar peraturan sedia ada agar sebarang kemungkinan tidak baik untuk negarw dapat dielakkan. Seterusnya membantu syarikat yang berkelulusan agar sentiasa kompeten, profesional dan berintegriti,”ujarnya.

Tonton video: di sini