Malaysia Dateline

PDRM tidak akan kompromi anggota enggan terima laporan orang awam

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan sekali- kali berkompromi terhadap mana-mana pegawai ataupun anggotanya yang didapati melakukan kesalahan enggan menerima laporan polis dari orang awam.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Soffian Santong, tular satu hantaran di Facebook pada 21 Oktober lalu oleh ‘Urban Life Volunteers’ yang mendakwa bahawa anggota PDRM dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, Pulau Pinang enggan menerima laporan polis yang hendak dibuat oleh seorang mangsa cabul.

“Ekoran dakwaan tersebut, PDRM IPD Timur Laut telah menjalankan satu siasatan dalaman dan pada 22 Oktober 2021, pengadu dalam kes berkenaan telah hadir ke IPD Timur Laut dan diambil keterangan bagi mengesahkan dakwaan sepertimana yang ditularkan.

“Pihak PDRM khususnya IPD Timur Laut akan menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil dan sekiranya terkesan salah laku serta kecuaian dalam melaksanakan prosedur penugasan, tindakan tatatertib akan dikenakan kepada semua pegawai atau anggota PDRM yang terlibat.

“Berhubung dengan kejadian cabul yang ditularkan, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (kesalahan mencabul kehormatan),” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.