Malaysia Dateline

Pecah rekod 2,335 kes baru hari ini

Sebanyak 2,335 kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah yang tertinggi sepanjang penularan pandemik melanda negara awal tahun ini.

Sebelum ini pada 10 Disember 2020 negara telah mencatat kes tertinggi sebanyak 2,234 kes.

Pertambahan kes baharu hari ini menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 103,900 kes dengan kes aktif sebanyak 20,035 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 11 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 2,324 kes.

Terdapat 108 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 50 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan dua kes kematian COVID-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 451 kes (0.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 728 kes (31.2 peratus).

Daripada jumlah ini, sebanyak 677 kes (93.0 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 710 kes (30.4 peratus) dan Johor sebanyak 412 kes (17.6 peratus).