AMANAH parti nasional bukan ‘parti Semenanjung’, kata Mohamad

AMANAH parti nasional bukan ‘parti Semenanjung’, kata Mohamad

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, tanggapan rakyat Sarawak bahawa AMANAH merupakan ‘parti Semenanjung’ perlu diubah.

Menurut Menteri Pertahanan itu, pengundi di Sarawak akan mengundi AMANAH sekiranya persepsi tersebut dapat dihapuskan.

“Selagi kita tidak dapat pecahkan minda ini, rakyat Sarawak pasti akan kurang memberi undi kepada parti AMANAH.

“Tugas besar buat kita untuk memecahkan persepsi itu, bahawa kita sebenarnya ialah parti nasional yang mewakili semua di peringkat nasional dan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Biro Pilihan Raya AMANAH Sarawak di Kuching hari ini.

Mohamad menjelaskan parti perlu membina jentera dan persepsi masyarakat dalam menghadapi mana-mana pilihan raya.

“Misalnya Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, di Parlimen Kota Raja majoriti sehingga 71,000, itu bukan kerana calon ataupun jentera yang hebat tetapi persepsi masyarakat berjaya diubah untuk menolak lawan kita,” ujarnya.

Beliau turut berpendapat, DAP agak berjaya di Sarawak kerana dianggap bukan parti Semenanjung dan memperoleh kemenangan yang agak besar pada PRU yang lepas.