Pecahkan politik kebimbangan Pakatan Harapan

Pecahkan politik kebimbangan Pakatan Harapan

Bukan satu rahsia lagi apabila perubahan positif yang diharap majoriti rakyat Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan baharu belum benar-benar tercapai. Perubahan memang sudah berlaku tetapi kemakmuran yang dijanjikan kepada rakyat masih samar-samar untuk dinikmati.

Sebaliknya, dalam tempoh kurang setahun ini, kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) masih bergelut untuk menyelesaikan pelbagai masalah dari segi sosial, ekonomi dan politik. Kesepaduan yang diharapkan rakyat belum terserlah lagi sepenuhnya.

Dalam suasana yang boleh dianggap penuh bergelora ini, pembangkang pula lebih licik menunggang pelbagai isu yang dijenamakan atas motif perkauman dan keagamaan. Segala polemik kontroversi yang dicetuskan gagal dibawa dalam bentuk wacana yang lebih membina. Apa yang dilakukan pembangkang adalah mengheret isu-isu yang beremosi agama dan kaum secara tidak bertanggungjawab.

Fitnah dilemparkan merata-rata. Di media sosial, di jalanan, di ceramah umum dan sebagainya. Semuanya berpusatkan kepada sentimen dan persepsi bahawa PH gagal sebagai kerajaan.

Semua ini terbentuk sehingga kesannya turut hinggap di minda segelintir pemimpin dan pendokong Malaysia baharu.

Politik ketakutan yang dilemparkan pembangkang disambut pula oleh pemimpin dan pendokong PH dengan politik kebimbangan.

Inilah yang boleh dilihat telah menyebabkan kebanyakan pendokong PH semakin bungkam untuk melawan hujah perkauman dan pandangan agama yang sempit yang dibawa pembangkang.

Mereka kehilangan motivasi untuk membawa agenda reformasi dan Malaysia Baharu. Jika semasa Pakatan Rakyat, laungan Ketuanan Rakyat menjadi slogan keramat. Tetapi hari ini muncul kebimbangan baharu untuk membawa agenda yang lebih merakyat.

Mereka bimbang perkataan rakyat menunjukkan bahawa Melayu dan Islam dikesampingkan.

Alangkah berjayanya pembangkang menakutkan dan membina kebimbangan dalam kalangan penyokong dan pemimpin PH.

Akhirnya, apa yang sedang kita saksikan politik ketakutan yang dimainkan oleh pembangkang kelihatan mendapat reaksi yang cukup lemah dari jentera kerajaan.

Benar, tidak dinafikan usaha untuk menjawab dan menangani persepsi hodoh pembangkang itu cuba dilakukan tetapi kesannya masih belum benar-benar berkesan.

 

Mudah dibuli 

Maka hari ini, rakyat menganggap kerajaan PH dilihat begitu mudah dibuli. Selepas dua siri Pilihan Raya Kecil (PRK) berlangsung yang dimenangi pembangkang yang mana isu-isu Melayu dan Islam menjadi fokus besar dan penting, segelintir pemimpin kerajaan turut perlahan-lahan mengubah nada.

Mengikut rentak lidah pembangkang dengan menyatakan semula komitmen untuk memulihkan fokus kepada isu-isu berkaitan Melayu Islam. Harus diingatkan berulang kali bahawa kegagalan kerajaan akan lebih terserlah sekiranya pemimpin mula bergerak mengikut kehendak pembangkang.

Maka apakah gunanya komitmen reformasi dan agenda Malaysia Baharu kalau kita masih terperangkap dengan isu-isu Melayu dan Islam. Dua elemen inilah juga yang ditunggang oleh Umno-BN dahulu apabila dijerkah kumpulan pembangkang.

Akhirnya isu-isu berkaitan ini hanyalah berlegar dan berputar pada tempat yang sama tanpa sebarang usaha pemulihan yang lebih konstruktif.

Justeru, AMANAH yang menjulang slogan Rahmatin Lil Alamin harus sedar keperluan keluar dari kepompong sempit dan dangkal yang dibawa pembangkang.

Kenyataan Pengarah Strategi Dr Dzulkefly Ahmad bahawa slogan ini akan memberi kejayaan kepada parti Islam ini di dunia dan akhirat mempunyai peranan yang besar.

Mujurlah juga agenda sempit pembangkang ini ditepis oleh KEADILAN melalui Anwar Ibrahim melalui Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau.

Tatkala wujud kebimbangan dalam PH untuk mengemukakan calon yang mampu menyaingi Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, KEADILAN lebih yakin dan selesa menampilkan calon berketurunan India, Dr Streram.

Sama ada Pakatan Harapan akan menang atau tewas dalam PRK ini, itu cerita lain. Tetapi keteguhan pendirian dan prinsip beginilah yang membolehkan pendokong PH meyakini bahawa agenda reformasi keadilan untuk semua belum terhenti lagi.