Malaysia Dateline

Walau apa pun keputusan yang akan di ambil oleh mereka bertiga akan terdapat kesan kepada senario politik negara samada kepada BN atau Pakatan Harapan

Pecat 5 ahli Bersatu bertentangan dengan perlembagaan parti

Tindakan menggugurkan keahlian lima anggota Parti Pribumi Bersatu malaysia (Bersatu) oleh Setiausaha Kerjanya adalah bertentangan dengan perlembagaan parti.

Tiga Adun Selangor Bersatu dalam kenyataan mereka berkata, tindakan itu bertentangan dengan perlembagaan parti 10.2.2 dan 10.2.3 di mana lima ahli berkenaan tidak pernah mengisytiharkan keluar parti mahupun menganggotai parti lain.

Malah menurut mereka pemecatan keahlian tersebut tidak melalui proses yang ditetapkan perlembagaan parti di mana tiada surat tunjuk sebab di minta dari lima ahli berkenaan dan mereka tidak pernah dirujuk pada lembaga disiplim parti

“Cara pemberhentian keahlian lima ahli Bersatu ini merupakan tindakan tidak profesional tidak telus, dilakukan secara tergesa-gesa dan memberi persepsi buruk terhadap parti, terutamanya dari aspek kepimpinan individu atau kumpulan yang mengeluarkan arahan tersebut.

“Kami dengan ini membantah dengan apa yang dimaksudkan sebagai pengguguran keahlian dan ingin memaklumkan di mana kami tiga orang Adun juga menyokong dan berada bersama kerajaan negeri Selangor di mana kerajaanya dimiliki oleh PH,” katanya.

Kenyataan dikeluarkan oleh tiga Adun iaitu Adun Kuang Sallehudin Amiruddin, Adun Jeram Mohd Shaid Rosli dan Adun Batang Kali Harumaini Omar.

Semalam Mahathir dan empat lagi pemimpin Bersatu menerima surat pemecatan sebagai ahli parti itu selepas mereka duduk di blok pembangkang dalam sidang Dewan Rakyat 18 Mei lalu.

Pemimpin Bersatu yang menerima surat pemecatan itu adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda, Syed Sadiq Abdul Rahman dan dua Ahli Majlis Tertinggi iaitu Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Mazlee Malik.