Pecat Muhyiddin-Mukhriz: Kalau baik tetap ada dalam Umno, kata Tun Abdullah

Pecat Muhyiddin-Mukhriz: Kalau baik tetap ada dalam Umno, kata Tun Abdullah

Tindakan pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir daripada Umno dianggap wajar oleh bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata apa yang dilakukan oleh Muhyiddin dan Mukhriz selama ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada ahli dan parti.

“Tindakan mereka tidak membawa kebaikan kepada Umno,” ujarnya.

Malah Tun Abdullah yang mesra dipanggil Pak Lah berkata, jika tindakan Muhyiddin, Mukhriz dan penyokongnya dilandasan yang betul, mereka tidak akan dipecat daripada parti.

” Muhyiddin dan rakan-rakannya telah menunjukkan apa yang dilaksanakannya (tentangan terhadap pemimpin parti). Kalau dia baik tetap ada dalam Umno,” ujarnya.

Beliau ditemui Malaysia Dateline ketika hadir pada majlis berbuka puasa bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) malam tadi.

Pak Lah pernah menjadi presiden pertubuhan itu pada 1960-1962.

Mengulas mengenai pembubaran Umno Bahagian Semporna pada Isnin, ekoran keputusan Majlis Tertinggi Umno pada Jumaat, yang turut menggantung jawatan Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdhal.

Katanya,” Saya melihat Umno di Sabah menunjukkan kekuatan tetapi yang ada tidak seratus peratus kuat.

“Saya yakin belum sampai (masa) sokongan rakyat masih lagi kepada Umno.

“Rombak kabinet bagus,”ujarnya yang turut memuji rombakan lima jawatan menteri dan timbalan menteri kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak pada Isnin.

Hadir sama di majlis itu, Ahli Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh juga ditanya mengenai dakwaan Mukhriz, wujudnya perjanjian kerjasama Umno-Pas ke atas tiga negeri Terengganu, Kedah dan Kelantan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

“Saya tidak tahu dari mana dia dapat maklumat itu. Semua orang Melayu mengharapkan perpaduan dan kembalilah ke pangkal jalan,” ujarnya ringkas tanpa mahu memberi komentar lanjut.

Turut hadir dalam majlis berbuka puasa itu Presiden GPMS, Zambri Mohamad, barisan ahli majlis tertinggi serta pengerusi negeri pertubuhan itu.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Idris Jusoh bergambar bersama barisan kepimpinan tertinggi GPMS  pada Majlis Berbuka Puasa anjuran pertubuhan itu malam tadi. - Gambar Malaysia Dateline oleh Dalia Ismail.

COMMENTS

Wordpress (0)