Malaysia Dateline

Pecat Zuraida kerana pengkhianat dan kartel, kata Otai Reformis

“Pecat, pecat! Pecat Zuraida! Zuraida pengkhianat! Kartel pengkhianat!”. Itu laungan protes oleh Otai Reformis 1998 di hadapan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), di Jalan Tropicana Selatan, kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Otai Reformis 1998 berkumpul hari ini untuk menghantar memorandum bagi mendesak parti PKR mengambil tindakan segera terhadap Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, sekali gus menuntut Perdana Menteri menggugurkan nama Zuraida daripada senarai Menteri Kabinet.

Mohd Fadzlie Mohd Hassan

Sayap Kanan Otai Reformis 1998, Mohd Fadzlie Mohd Hassan, berkata tindakan perlu diambil terhadap Ahli PKR Cabang Ampang itu berikutan kebiadapan melampau beliau serta ingkar kepada barisan pucuk pimpinan parti berkenaan.

“Beliau (Zuraida) secara terang-terangan menghina Presiden parti (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan beberapa orang pemimpin parti dalam satu program Makan Malam di Hotel Renaissance, Ahad lalu.

“Kami juga menggesa pimpinan parti mengambil tindakan disiplin dengan menggantung atau memecat keanggotaan beberapa orang pemimpin parti yang turut ingkar terhadap pucuk pimpinan parti ekoran tindakan sabotaj mereka yang sengaja meninggalkan Kongres Nasional PKR, di Melaka minggu lalu.

“Mereka-mereka itu adalah, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Tian Chua; Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Hilman Idham; Menteri Besar Selangor merangkap Pengerusi PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha dan Ketua Cabang PKR Permatang Pauh, Dr Afif Bahardin,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Memorandum yang ditandatangani kira-kira 50 orang itu diserahkan oleh Pengerusi Otai Reformis 1998, Dr Idris Ahmad kepada Pembantu Peribadi Datuk Saifuddin Nasution Ismail iaitu Zara Zahari.

Difahamkan, serahan memorandum itu turut melibatkan badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MaSSSA) dan Anak Reformasi.

Ahad lalu Sinar Harian melaporkan, dalam Majlis Makan Malam Warisan Kemakmuran Bersama (WKB), Azmin Ali mempertikaikan tindakan Anwar Ibrahim yang menggunakan sejarah Si Kitol dan Raja Mendeliar ketika berucap pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka pada Sabtu lalu.

Menurut Azmin, banyak lagi sejarah lain yang boleh dijadikan contoh selain watak yang digambarkan sebagai pembelot yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Melaka di tangan Portugis.

Pada hari yang sama, Harian Metro juga melaporkan bahawa Zuraida turut berkongsi pertemuan empat mata dengan Anwar selepas menghantar empat surat untuk bertemu dengan presiden bagi membincangkan soal parti.

“Saya dipanggil presiden berjumpa tiga empat bulan lalu. Ketika pertemuan Anwar mula bercerita mengenai video (semburit) dengan mendakwa ia adalah Azmin kerana polis dah sahkan. Cakap kasihan pada Azmin, saya suruh dia tolong.

“Lepas itu (Anwar) dakwa Tun (Dr) Mahathir Mohamad suruh pecat Azmin tetapi berbeza dengan kenyataan Tun yang kata Azmin tidak perlu bercuti dan teruskan kerja seperti biasa. Anwar cakap, saya tak kenal Tun.

“Jadi saya sebut, Datuk Seri (Anwar) saya memang tak kenal Tun, saya pun tak kenal you (awak). Sebab apa? Saya masuk dalam parti berseorangan, bukan (berasal) dari UMNO, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau parti lain, saya datang sendiri.

“Saya tak kenal (Anwar), masuk parti dia dalam penjara, keluar 2004 kejap masuk lagi, mana saya kenal,” kata Zuraida dalam ucapannya di Hotel Renaissance.

Dr Idris Ahmad menyerahkan memorandum kepada Pembantu Peribadi Datuk Saifuddin Nasution Ismail iaitu Zara Zahari di hadapan ibupejabat PKR hari ini..