Biar apa pun alasan yang diberikan, kalah tetap kalah. Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November lalu menambahkan koleksi kekalahan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018, beberapa pilihan raya kecil (PRK), dan PRN Sabah, 26 September 2020.
Diakui bahawa para penyokong, termasuk saya tidak sanggup lagi menerima/melihat kekalahan PH yang berterusan. Apa sudah jadi dengan PH, dan bagaimanakah nasibnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti?
Takjub juga dalam hati saya mengenangkan Barisan Nasional (BN) boleh bangun kembali dengan gagah selepas rebah pada PRU14.
Perangai dan tabiat para pemimpin BN secara keseluruhannya tidak berubah, sama ada selepas kalah PRU14 mahupun setelah menjadi kerajaan semula hasil ‘Langkah Sheraton’.
Walau bagaimanapun, BN, khususnya Umno masih menjadi pilihan rakyat. Mengapa? Apakah yang tidak atau belum kena lagi dengan PH?
Ada pemerhati politik mengatakan kemenangan BN sebagai satu romantisme Melayu terhadap Umno yang kekal tradisionalis, konservatif dan feudal. Secara umumnya, soal rasuah, ekonomi antarabangsa, penyelewengan kuasa, dan perkara lain yang dibawa oleh PH bukan isu yang menyentuh perut masyarakat.
Alasan kekalahan teruk dalam PRN Melaka kerana peratusan keluar mengundi yang rendah meskipun boleh diterima, tetapi apakah PH akan terjamin menang jika lebih ramai menunaikan kewajipan tersebut?
Belum pasti mereka yang tidak pulang ke Melaka untuk mengundi atas beberapa sebab akan memilih PH. Namun begitu, jika memang mereka mahukan PH, maka rugi besarlah!
Apakah keputusan PRN Melaka ini juga membawa erti rakyat yang menetap di Melaka, dan keluar membuang undi itu hanya mahu memilih Umno-BN?
Begitu pun, tidak mustahil ada pemastautin tetap Melaka menolak BN dan PN, tetapi memulaukan PRN itu atas beberapa faktor juga.
Boleh diterima juga apabila ada yang mengatakan kekalahan PH pada PRN Melaka tidak menggusarkan. Walau bagaimanapun, kekalahan tersebut tetap ada kesannya.
Pemimpin Umno-BN tidak peduli apa pun faktor yang memenangkan gabungan mereka. Bagi mereka yang penting adalah kejayaan ketika ini, dan yakin akan memenangi PRU15 pula.
Kemenangan ini membuatkan mereka kembali angkuh dan mendabik dada, serta akan meneruskan budaya lama kerana tidak menerima sebarang kesan buruk – rakyat masih memilih mereka di peti undi walaupun ‘jahanam’.
Tidak salah, malah lebih baik untuk berasa gusar dan gundah-gelana sekarang. Kesan kekalahan tetap ada, sebagaimana yang dirasakan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bimbang kemenangan BN akan menandakan kembalinya Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri (PM).
Memetik video Facebook Ahli Parlimen Pekan itu pada pagi 21 November lalu, Lim mengatakan Najib telah bertindak sebagai ‘panglima tertinggi’ kempen Umno di Melaka.
Secara automatik, tambah Lim, timbul persoalan sama ada PRN Melaka akan menjadi batu loncatan kepada Najib untuk dilantik sebagai PM Malaysia yang ke-10.
Dalam video berkenaan, Najib mengucapkan terima kasih kepada pengundi Melaka kerana menyokongnya dan Umno. Beliau juga menyatakan tidur lena kerana puas dengan kemenangan besar BN itu.
Ini satu kebimbangan yang bukan kecil. Kebangkitan Najib, tegas Lim, pada masa depan harus difikirkan bukan sahaja oleh rakyat Melaka, tetapi semua rakyat Malaysia.
Umno telah menyifatkan PRN Melaka sebagai kemenangan besar baginya.
Jika kebelakangan ini kerajaan pimpinan PM Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah melanggar beberapa perkara dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan PH, Lim mengatakan keputusan PRN Melaka boleh menggoda kepimpinan Umno untuk semakin melanggarnya.
Kata Lim, kejayaan pada PRN Melaka boleh memberikan keyakinan tinggi untuk Umno mendesak mengadakan PRU15 mengejut sebelum tarikh 22 Jun seperti yang dipersetuju dalam MoU itu.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri begitu berminat dan merasakan PRU15 wajar diadakan dalam masa terdekat.
Lim memberi alasan ini kerana BN berhasrat untuk kembali sebagai Kerajaan Persekutuan secara gabungan tunggal – seperti sebelum PRU14 – berdasarkan keputusan PRN Melaka, walaupun Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengatakan bergerak sendirian masih terlalu awal bagi BN.
Tambah Lim sambil memberi amaran bahawa ia boleh menjadi kesilapan besar, 12 kerusi yang dimenangi BN dengan majoriti di bawah 1,000 undi membuktikan kemenangan mereka bukan satu kesimpulan yang boleh diketepi, sebaliknya bergantung pada faktor termasuk peratusan keluar mengundi.
Menurut Khairy yang juga Menteri Kesihatan Malaysia, meskipun memenangi PRN Melaka, tetapi BN perlu mengkaji lebih mendalam statistik 65 peratus pengundi yang keluar mengundi, sebelum memutuskan akan bergerak secara solo, atau sebaliknya pada PRU15.
Hakikat hanya 65 peratus sahaja keluar mengundi pada PRN Melaka, tambah Khairy, perlu diterima. BN, katanya, perlu memikirkan sama ada Melaka merupakan representasi kepada PRU15 atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan.
BN yang dipimpin oleh Mohamad; Pengerusi Umno Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan mantan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN pada PRN Melaka, 20 November lalu.
PH hanya memenangi lima kerusi menerusi empat DAP dan satu Parti Amanah Negara (Amanah), sementara Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh dua kerusi yang kedua-duanya dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Apa pun alasan, PH telah kalah dan sekali lagi terpaksa ditelan. Cuma, tentulah ia perlu bangkit semula untuk ‘peperangan’ akan datang.
Liew Chin Tong, misalnya, mengatakan walaupun PH kalah teruk dalam PRN Melaka, tetapi tidak semestinya gabungan itu akan tewas dalam ‘peperangan utama’.
Menurut Liew yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP, PH memerlukan satu halangan, sama seperti ketika ia mengatasi kekalahan besar pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 2016.
Namun demikian, pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia, katanya, mengundi untuk menukar kerajaan buat kali pertama.
Justeru, kata Liew, PH mesti bangkit daripada kekalahan untuk merangka strategi lebih baik
DAP hanya mengekalkan kemenangan di empat daripada lapan kerusi yang disandang, Amanah menang satu daripada dua kerusinya, manakala Parti Keadilan Rakyat kalah di kesemua tiga kerusi yang dimenanginya pada PRU14.
Tegas Liew, kemenangan pada PRU 14 2018 boleh dikaitkan dengan penjajaran besar yang dibuat pada 2017.
Justeru, katanya, PH memerlukan satu penetapan semula untuk menjadi gabungan sebuah ‘khemah besar’ yang menyatukan semua pihak yang menentang politik lama Umno/BN, dan PN.
PH mesti melalui penyusunan semula tersebut, kemudian perlu menjadi pilihan untuk semua pengundi muda, dan pengundi atas pagar.
Liew membangkitkan kekalahan DAP di Pengkalan Batu dan Duyong – masing-masing dengan 65 peratus dan 60 peratus pengundi Melayu – hanya dengan perbezaan 131, dan 200 undi.
Di DUN luar bandar, iaitu Bemban dan Gadek, yang memiliki kira-kira 60 peratus pengundi Melayu, DAP kalah dengan perbezaan 1,116 dan 559 undi.
Meskipun kecewa dan pedih, tetapi PH tidak boleh berputus asa. Memang dikesali, kata Liew, tetapi keputusan PRN Melaka menunjukkan PH boleh menang di Pengkalan Batu, Duyong, Bemban dan Gadek dengan sedikit peralihan sokongan daripada pengundi muda, dan atas pagar.
Mengapa pengundi muda Melayu yang menolak Umno/BN telah menyokong PN?
Menurut Liew, PH perlu tampil dengan wajah segar dan pengisian (substance) baharu agar pengundi atas pagar akan memilihnya berbanding Umno/BN atau PN.
Justeru, tegas Liew, persediaan untuk pertarungan seterusnya bermula sehari selepas PRN Melaka. Inilah masanya untuk menetapkan semula, dan menyuntik faktor pengubah (game-changer) yang baharu ke dalam politik nasional untuk memberi harapan kepada rakyat, dan agar rakyat terus melihat PH sebagai obor yang membawa harapan.
*RAYUSA merupakan penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.