Malaysia Dateline

Peduli rakyat: Adun AMANAH turun padang baiki titi kampung, bantu kedai makan uzur

Walaupun membaiki titi dan jambatan itu dianggap kecil oleh sesetengah pihak, sebetulnya membaiki dan membantu membina titi atau jambatan bagi memudahkan penduduk untuk lalu-lalang adalah satu pengorbanan besar.

Bagi Adun Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh, turun padang bersama penduduk Kampung Benua, Simpang Empat Kangkong, membina titi baru bagi menggantikan titi yang telah reput dan rosak dan berusia 10 tahun adalah suatu tanggungjawab.

“Titi di kampung tersebut telah pun uzur, reput dan tidak boleh digunakan lagi serta sering digunakan oleh penduduk kampung terutamanya pelajar sekolah dan jemaah yang hendak ke masjid.

“Usaha membaiki titi ini dilakukan secara gotong royong mulai awal pagi dan siap sepenuhnya pada hari yang sama dan ternyata ia memberi kemudahan yang besar untuk penduduk kawasan sekitar.

“Selain itu Dr Ismail turut meneruskan agenda Peduli Rakyat dengan membantu membaiki bumbung kedai makan salah seorang penduduk di Kampung Kebun Pinang dengan menyediakan kemudahan bahan yang diperlukan seperti atap zink, paku dan sebagainya, ” ujar beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi AMANAH Kedah.

Tegas beliau lagi dengan kemudahan membaiki bumbung dan titi dalam kampung tersebut, ia memberi banyak keselesaan dan memudahkan setiap pergerakan penduduk yang terbabit.