Malaysia Dateline

Pegawai kanan kerajaan beruniform hadir program parti Bersatu

Sebanyak 10 pegawai kanan kerajaan daripada pelbagai agensi hadir menerima Anugerah Khas Frontliner sempena sambutan ulang tahun Bersatu keempat di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara malam tadi.

Kesemua pegawai kerajaan terbabit mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Anugerah penghargaan kepada barisan hadapan itu atas pengorbanan mereka membantu negara mengawal penularan pandemik Covid-19.

Mendahului senarai, Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur diikuti Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim.

Seterusnya, Panglima Medan Barat Tentera Darat Malaysia (TDM), Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali.

Turut menerima anugerah lengkap logo Bersatu yang bersaiz besar itu ialah Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jasmi Juwahir serta Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin juga menyampaikan anugerah sama kepada Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab serta Penolong Pengarah Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Mohd Khairul Ahmad.

Lagi menerima anugerah daripada Perdana Menteri itu ialah Timbalan Komissoner
Jabatan Penjara (Pengurusan), Datuk Nordin Muhamad dan Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Zulkifli Ismail.

Kesemua pegawai yang menerima anugerah terbabit dilihat turut diberi sepucuk sampul berwarna putih daripada Muhyiddin.

Kesemua pegawai yang menerima anugerah turut diberi sepucuk sampul berwarna putih.