Malaysia Dateline

Pegawai kerajaan dedah hantaran politik atas arahan SUSK Menteri Kesihatan

Hantaran berbaur politik yang dikongsi dari laman ‘Friends of Adham Baba’ dan dimuat naik pentadbir Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah atas arahan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) kepada Menteri Kesihatan.

Hal yang menggemparkan orang ramai itu semalam disahkan daripada tangkap layar sembang dalam kumpulan WhatsApp KKM Stormtroopers.

“As salam terima kasih. Posting dinaikkan atas arahan SUSK YBMK (Yang Berhormat Menteri Kesihatan),” kata individu atas nama LivingLegend.

Semakan Malaysia Dateline mendapati nama samaran itu berserta nombor telefon sama tanpa profil gambar juga wujud dalam kumpulan WhatsApp Media KKM.

Selepas disiasat termasuk merujuk portal rasmi KKM, individu tersebut ialah Pegawai Komunikasi Strategik Gred S51, Tuan Nazuri Tuan Ismail dari Bahagian Unit Komunikasi Korporat (UKK).

Nazuri kemudiannya dalam reaksi terbuka di kumpulan WhatsApp Media KKM memberitahu tangkap layar yang tular itu bukan menggambarkan keseluruhan perbualan.

Screen shot itu tak sampai 10 peratus perbualan sebenar. Info screen shot itu SALAH. Sekarang cyberstroopers politik aktif. Silap ejaan pun kena kecam,” ujarnya pada jam 11.38 pagi tadi.

Sumber dalaman memaklumkan Nazuri bukannya lantikan pegawai kerajaan ketika pentadbiran PH sekali gus menafikan dakwaan tentera siber Perikatan Nasional (PN) kononnya UKK KMM yang diketuai Yamuna a/p Perimalu sebagai Ketua Komunikasi Korporat, Gred S54 cuba mensabotaj kerajaan.

Difahamkan Nazuri berada di UKK KMM ketika di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebagai Menteri Kesihatan (Mei 2013 hingga Mei 2018).

Untuk rekod, SUSK kepada Menteri Kesihatan ialah Mohd Sharil Abdullah yang dilantik untuk jawatan itu berkuatkuasa pada 20 Mac lalu.

Semalam, Facebook KKM memuatnaik hantaran yang memuji Menteri Kesihatan Dr Adham Baba dalam menangani krisis wabak Covid-19.

Pada masa sama, hantaran yang dikongsikan dari laman ‘Friends of Adham Baba’ itu membandingkan Adham yang dengan penyandang jawatan terdahulu, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad ketika pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Menteri kesihatan zaman PN (Perikatan Nasional) tak banyak cakap, tak banyak cerita. Awalan hari pertama masuk kerja terus sekat pelancong Iran, Itali dan Korea.

“Terus memastikan hubungan baik dengan China bersama Kementerian Luar bagi membantu bekalan sumbangan peralatan di Malaysia.

So nampak tak beza? …Apa yang penting ada “sense of urgency”. Bukannya blurr,” jelas hantaran yang kemudiannya telah dipadamkan itu.

Saluran rasmi kerajaan cuba dijadikan alat propaganda kerajaan PN.