Pegawai kerajaan lambatkan arahan tugas: KSN, SKN perlu beri perhatian teguran PM

Pegawai kerajaan lambatkan arahan tugas: KSN, SKN perlu beri perhatian teguran PM

Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak mengalu-alukan teguran Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung wujudnya sikap sesetengah pegawai kerajaan yang masih setia dengan bekas PM sebelum ini yang melambat-lambatkan arahan tugas yang diberikan.

Naib Pengerusinya, Dr Muhaimin Sulam berkata, gejala ini juga wujud di sesetengah peringkat negeri dan sekiranya gejala ini tidak dikawal, beberapa keputusan dan pendekatan kerajaan akan dilihat lemah dan lembab.

Ini akan meresahkan harapan rakyat yang mahu perubahan berlaku, kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

“AMANAH Perak mengambil sikap bahawa kebebasan dalam negara demokratik hendaklah disertakan dengan rasa kebertanggungjawaban seperti yang digariskan dalam Rukun Negara.

“Sehubungan dengan itu, AMANAH Perak meminta Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil perhatian dan tindakan serius kepada mana-mana pegawai kerajaan yang terbukti melakukan pengkhianatan dari dalam jentera kerajaan.

“Ia bagai gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut,” ujar beliau.

Kata beliau lagi, kerjasama erat antara ahli politik, kakitangan kerajaan (birokrat) dan juga rakyat sangat penting dalam memacu pembangunan dan kelestarian sebuah negara.

Jelasnya, memenuhi harapan rakyat adalah sebahagian tanggungjawab nasional semua pihak.